Demokrasi musnah akibat demonstrasi

in Lidah Pengarang by

APABILA berlaku pemilihan atau pilihan raya rakyat menjadi penentu utama. Itulah dasar sistem demokrasi yang membawa maksud suara rakyat sebagai penentu kepada pembentukan kerajaan.

Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dipanggil sebagai negara atau kerajaan yang demokratik. Alhamdulillah Malaysia masih teguh dengan sifat-sifat demokratik. Walaupun rakyat di Malaysia terkenal dengan sifat berbilang bangsa dan kaum, namun Pilihan Raya Umum Umum Ke-14 tahun lalu yang berakhir dengan penukaran kerajaan baharu berlangsung dalam suasana aman.

Ia membuktikan rakyat dan pemimpin di Malaysia matang mendepani suasana politik semasa.

Di Indonesia kelmarin, terdapat usaha kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pemilihan Umum 2019 (Pemilu) Selasa lalu apabila melakukan demonstrasi jalanan.

Jakarta kembali bergolak disebabkan penolakan penyokong Prabowo Subianto terhadap kemenangan Joko Widodo atau Jokowi yang secara rasminya kekal sebagai Presiden Indonesia untuk penggal kedua.

Mereka menjadikan jalan raya utama sebagai tempat untuk melakukan demonstrasi yang pada mulanya aman tetapi kemudiannya disusuli dengan tindakan ganas melemparkan batu, molotov cocktail dan mercun ke arah pasukan keselamatan.

Lebih menyedihkan, perusuh yang kini seramai 257 orang telah ditahan dan ironinya didakwa telah dibayar. Inikah yang dikatakan demokrasi?

Ramai pemerhati dan penganalisis politik Indonesia berpandangan Prabowo Subianto menjadi punca berlakunya rusuhan kerana rentetan ucapan pidatonya yang mendakwa berlakunya unsur penipuan.

Jokowi dalam kenyataan di Instagram rasminya, meminta rakyat Indonesia kembali bersatu dan menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan perusuh yang mencabar kedaulatan undang-undang.

Demonstrasi tidak akan menghasilkan apa-apa yang positif malah membawa kerosakan bukan sahaja harta benda tetapi nyawa turut melayang.

Demokrasi boleh musnah akibat demonstrasi!