PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

May 2019 - page 2

Tak salah bawa anak ke masjid tetapi…

in Pojok by

SERONOK mata kita lihat suasana dalam masjid. Kurang dua minggu sahaja lagi bahang raya mula terasa tetapi masjid masih penuh, luar biasa! Alhamdulillah, umat Islam terus berlumba-lumba mencari keberkatan pada bulan yang mulia ini hingga ke penghujung Ramadan.

Seronok juga melihat jemaah-jemaah termasuk kanak-kanak berlumba-lumba hendak berada di saf depan.

Suasana ini membuktikan ibu bapa tahu peranan dan tanggungjawabnya menerapkan Rukun Islam ke dalam jiwa anak-anak ketika usia masih muda.

Memetik kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, katanya, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya Tarbiyah al-Aulad telah menyebut tiga institusi penting untuk kanak-kanak ialah:

Rumah: Tempat pembangunan fizikal, adab dan akhlak. Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian. Sekolah: Merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab serta pemikiran.

Justeru, tidak perlu dinafikan atau dibahaskan lagi walaupun timbul pelbagai pandangan berbeza mengenai isu bawa anak-anak bawah umur ke masjid.

Namun, apa yang kurang menyeronokkan di mata kita apabila ada anak kecil di bawah usia lima tahun dibiarkan bersama-sama di saf depan.

Bayangkan dengan keadaan anak-anak kecil ini yang belum tahu mengikut rukun solat, keluar masuk saf dan setiap pergerakannya menyentuh jemaah di sebelah.

Walaupun secara umumnya tidak salah untuk kanak-kanak berada di dalam saf orang dewasa namun ibu bapa sepatutnya tahu memahami aturan.

Anak yang belum mampu berdikari perlu diletakkan di sebelah ibu bapa yang mengambil tempat bersolat di tepi dinding (hujung saf).

Itu adalah aturan terbaik yang disebut Zulkifli.

Moralnya, ingin ditekankan di sini, bahawa sangat digalakkan membawa anak-anak mengimarah masjid tetapi didiklah mereka dan ingatkan mereka tentang kehormatan dan kedudukan masjid sebagai rumah ibadat.

Jangan kita lupa legasi Sultan Ahmad Shah

in Analisis Sinar by

KELMARIN, tanggal 22 Mei ketika seluruh umat Islam di negara ini meraikan sambutan Nuzul al-Quran, kita dikejutkan dengan berita kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

Perkhabaran sedih itu sudah pasti meninggalkan impak besar terhadap arena sukan negara, apatah lagi bola sepak memandangkan baginda pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai 1984 hingga 2014.

Bagi penulis sendiri, nama Almarhum Sultan Ahmad Shah cukup sinonim dengan bola sepak. Bukan saja di Malaysia, malahan di peringkat antarabangsa. Selain memimpin FAM, baginda juga pernah menerajui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Dalam tempoh tiga dekad itu, Almarhum Sutan Ahmad Shah menjadi pencetus beberapa kejayaan yang dilakar skuad bola sepak negara. Baginda boleh dianggap maestro kejayaan Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA edisi 1989, 2009 dan 2011; Pestabola Merdeka 1993 serta Piala Suzuki AFF 2010.

Sudah tentu, deretan kejayaan itu tidak mampu dicapai dengan ‘sentuhan emas’ baginda sehingga menjadi antara momen indah dalam lipatan sejarah bola sepak negara.

Kini pemergian Almarhum Sultan Ahmad Shah diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia termasuklah peminat dan penyokong mahupun komuniti bola sepak tanah air.

Secara peribadi, penulis berpandangan, legasi yang ditinggalkan Almarhum Sultan Ahmad Shah tidak harus terhenti begitu saja.

Penyandang jawatan Presiden FAM ketika ini, Datuk Hamidin Mohd Amin harus menyambung ‘DNA’ bola sepak Malaysia yang pernah dibawa baginda sebelum ini.

Penulis percaya Hamidin sudah pasti mempunyai gaya tersendiri dalam mengangkat martabat bola sepak Malaysia berbekalkan pengalamannya.

Namun harus diingat, Hamidin dan saf kepimpinan FAM ketika ini tidak harus memandang sepi transformasi dan evolusi yang pernah dibawa Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Bercakap soal agenda pembaharuan, penulis juga harus memberi tabik hormat kepada Hamidin. Kira-kira tiga bulan selepas menggalas tugas sebagai Presiden FAM, beliau sudah merangka strategi tersendiri bagi mengangkat imej bola sepak Malaysia di mata dunia.

Cetusan idea Hamidin melancarkan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM – F:30 pada Oktober tahun lalu wajar dipuji.

Mungkin ada ‘cakap-cakap’ mengatakan roadmap yang dirangka dalam tempoh 12 tahun itu tidak ubah sekadar retorik semata-mata.

Sebaiknya kita tidak harus terlalu cepat menjatuh hukum. Belum sampai setahun roadmap itu dilancarkan, sudah ada suara negatif yang mempertikai perancangan FAM. Semolek-moleknya, kita ‘tunggu dan lihat’ keputusan roadmap itu sekurang-kurangnya tiga tahun akan datang.

FAM sendiri sudah menetapkan perencanaan mereka – menjadi lima negara terbaik Asia menjelang tahun 2030. Tiga fasa dibuat bagi mencapai sasaran itu. Jadi tidak adil rasanya jika ada pihak yang awal-awal lagi membuat andaian tanpa menunggu masa betul-betul ‘masak’.

Tempoh 12 tahun itu satu sasaran yang realistik – mengambil kira situasi bola sepak negara ketika ini.

Bagi penulis, pelan itu penting supaya semua ahli gabungan FAM dapat melihat dengan lebih jelas hala tuju bola sepak negara.

Roadmap itu adalah agenda untuk negara, agenda untuk semua, agenda untuk pemegang taruh mahupun agenda untuk FAM. Jika ia mampu menghadirkan keputusan positif, apa salahnya jika kita sama-sama menyokong perancangan FAM.

Jika kena dengan gayanya, tidak mustahil kita seluruh peminat dan penyokong bola sepak tempatan dapat melihat Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Apa sekalipun, kita tidak boleh menidakkan setiap kejayaan yang sudah terpateri kemas dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia sebelum ini adalah hasil usaha, titik peluh dan pengorbanan Almarhum Sultan Ahmad Shah serta barisan Presiden FAM sebelumnya.

Itu hakikat yang tidak boleh kita lupa sampai bila-bila.

Di kesempatan ini juga, penulis ingin merakamkan ucapan takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta kerabat Diraja Pahang dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.

Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Al Fatihah.

* Azizul Fahmi Ahmad Zabidi ialah Penolong Editor Sukan Sinar Harian

Demokrasi musnah akibat demonstrasi

in Lidah Pengarang by

APABILA berlaku pemilihan atau pilihan raya rakyat menjadi penentu utama. Itulah dasar sistem demokrasi yang membawa maksud suara rakyat sebagai penentu kepada pembentukan kerajaan.

Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dipanggil sebagai negara atau kerajaan yang demokratik. Alhamdulillah Malaysia masih teguh dengan sifat-sifat demokratik. Walaupun rakyat di Malaysia terkenal dengan sifat berbilang bangsa dan kaum, namun Pilihan Raya Umum Umum Ke-14 tahun lalu yang berakhir dengan penukaran kerajaan baharu berlangsung dalam suasana aman.

Ia membuktikan rakyat dan pemimpin di Malaysia matang mendepani suasana politik semasa.

Di Indonesia kelmarin, terdapat usaha kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pemilihan Umum 2019 (Pemilu) Selasa lalu apabila melakukan demonstrasi jalanan.

Jakarta kembali bergolak disebabkan penolakan penyokong Prabowo Subianto terhadap kemenangan Joko Widodo atau Jokowi yang secara rasminya kekal sebagai Presiden Indonesia untuk penggal kedua.

Mereka menjadikan jalan raya utama sebagai tempat untuk melakukan demonstrasi yang pada mulanya aman tetapi kemudiannya disusuli dengan tindakan ganas melemparkan batu, molotov cocktail dan mercun ke arah pasukan keselamatan.

Lebih menyedihkan, perusuh yang kini seramai 257 orang telah ditahan dan ironinya didakwa telah dibayar. Inikah yang dikatakan demokrasi?

Ramai pemerhati dan penganalisis politik Indonesia berpandangan Prabowo Subianto menjadi punca berlakunya rusuhan kerana rentetan ucapan pidatonya yang mendakwa berlakunya unsur penipuan.

Jokowi dalam kenyataan di Instagram rasminya, meminta rakyat Indonesia kembali bersatu dan menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan perusuh yang mencabar kedaulatan undang-undang.

Demonstrasi tidak akan menghasilkan apa-apa yang positif malah membawa kerosakan bukan sahaja harta benda tetapi nyawa turut melayang.

Demokrasi boleh musnah akibat demonstrasi!

Kemangkatan Sultan Ahmad Shah

in Lidah Pengarang by

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah disanjungi semasa hayat baginda kerana sifat baginda yang berjiwa rakyat dan mudah didampingi.

Almarhum sentiasa berada bersama rakyatnya dalam apa jua keadaan sama ada susah mahupun senang.

Bagaimanapun, baginda lebih banyak dilihat bersama rakyat apabila mereka berada dalam situasi sulit, terutamanya ketika ditimpa bencana alam seperti banjir dan sebagainya.

Pada waktu itu, Almarhum adalah sosok pertama yang datang berkunjung setiap cerok negeri Pahang bagi mengubat nestapa yang dialami rakyat.

Baginda bukan sahaja melihat dan mengambil tahu apa yang berlaku malah turut membantu rakyat termasuk menyinsing seluar untuk meredah banjir, membawa barang bantuan dan sebagainya.

Kesanggupan Almarhum mencemar duli dan meletak ke tepi seketika protokol serta keselesaan istana menyebabkan rakyat begitu menyayangi baginda sehingga ke akhir hayatnya.

Sultan Ahmad mangkat pada usia 89 tahun semalam di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur sekitar jam 8.50 pagi.

Baginda bersemayam di atas takhta pemerintahan Diraja Pahang selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu kerana masalah kesihatan.

Sultan Ahmad diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930.

Baginda merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah, puteri Sultan Perak.

Pada 7 Mei 1974, Sultan Ahmad dilantik menjadi Sultan Pahang kelima susulan kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar.

Pertabalan baginda dilangsungkan di Balairong Seri, Istana Abu Bakar di Pekan setahun kemudian pada 8 Mei 1975.

Baginda pernah menggalas tugas sebagai ketua negara apabila dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh selama lima tahun dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Al-Fatihah.

Debat tanam padi pada waktu malam

in Pojok by

Ramai memandang sinis cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau mahu mengalihkan waktu bekerja siang kepada malam melibatkan sektor pekerjaan tertentu bagi memudahkan pekerja tempatan terutama mereka yang terpaksa bekerja pada waktu panas.

Cadangan tersebut disuarakan beliau dalam satu Majlis Malam Tautan Muhibah 2019 anjuran Bersatu Bahagian Segambut di Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir memberi contoh kemungkinan penanaman padi boleh dibuat pada sebelah malam dengan bantuan lampu jimat tenaga dan teknologi jentera moden.

Mendengarkan cadangan tersebut maka ramai yang melompat seperti kera kena belacan kerana menganggap idea berkenaan merupakan satu lagi perkara pelik dibawa Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil tampuk pemerintahan negara sejak setahun lalu.

Maka berbondong-bondonglah pahlawan alam maya melemparkan kata nista terhadap figura berusia 93 tahun itu tanpa melihat senario tersebut mungkin juga praktikal.

Seolah-olahnya mereka itu tahu segala-galanya apa yang ada di dalam dunia ini, sekali gus menganggap pemimpin yang popular dengan panggilan atuk dalam kalangan parti pembangkang itu bercakap tidak ikut hukum logik akal.

Hakikatnya, kerja pada waktu malam bukan lagi malam baharu di dunia malah telah dipraktikkan pemilik ladang di Amerika Syarikat (AS) sejak tiga ke empat tahun kebelakangan ini kerana mereka memandang berat soal produktiviti rakyat serta hasil dijana industri perladangan.Di California, AS, misalnya, trend bekerja pada waktu malam meningkat di ladang anggur, tomato, jagung dan bawang.

Mereka menuai hasil pada waktu malam bagi mengatasi beberapa isu seperti masalah terik mentari, kekurangan pekerja, kualiti produk dan serangan makhluk perosak.Tak hairanlah kalau kita lihat kenapa jenama John Deere yang terkenal di AS mengeluarkan traktor dan mesin bajak lengkap berserta lampu.

Rupa-rupanya ramai peladang di negara Uncle Sam itu bekerja pada waktu malam berbanding orang kita lebih suka melepak di kedai mamak melayan siaran bola.

Jadi, menanam padi pada waktu malam seperti dicadangkan Dr Mahathir itu bukan sesuatu yang mustahil sebenarnya.

Mereka menipu, kita mudah kena tipu

in Analisis Sinar by

SEJAK akhir-akhir ini, isu warga asing kembali hangat di Malaysia. Sebenarnya ia bukan perkara baharu. Sudah bertahun-tahun kita mendengar pelbagai cerita kurang enak berkaitan warga asing.

Kemasukan warga asing di negara ini dipengaruhi pelbagai faktor. Antaranya kerana pertumbuhan ekonomi negara ini lebih baik berbanding negara mereka.

Kebergantungan majikan terhadap tenaga kerja pekerja asing juga menjadi salah satu sebab. Lebih jimat kerana gaji yang lebih rendah berbanding pekerja tempatan.

Bagi warga asing, gaji rendah bukan isu kerana wang yang dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing menjadi lebih tinggi nilai di negara mereka.

Ironinya, kehadiran mereka tidak banyak menyumbang kepada negara sebaliknya memberi kesan terhadap mata wang negara mengalir ke luar, malah mendorong kepada masalah jenayah.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2017 mencatatkan bilangan penduduk di Malaysia adalah seramai 32.03 juta dengan 3.29 juta merupakan warga asing.

Jumlahnya meningkat sedikit pada 2018 kepada 32.38 juta penduduk dengan 3.32 juta ialah warga asing. Itu tidak termasuk yang masuk ke negara ini secara haram. Tidak mustahil jumlahnya terus meningkat tahun ini dan pada tahun-tahun akan datang.

Jumlah pelajar asing yang melanjutkan pengajian di Malaysia pula dianggarkan seramai 170,000 orang dan dijangka meningkat kepada 200,000 orang menjelang 2020.

Jika dahulu, lambakan warga asing dari Bangladesh atau Nepal menjadi bahan bualan tetapi sejak akhir-akhir ini, warga Afrika pula jadi perhatian selepas berlakunya kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang di Cyberjaya baru-baru ini.

Kehadiran warga Afrika sebenarnya bermula sejak awal tahun 2000 ketika banyak institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang hampir gulung tikar disebabkan pelajar tempatan lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian di situ.

Bagi meneruskan kelangsungan, kebanyakan IPTS beralih kepada pelajar asing. Bermula dari situ, ramai warga Afrika mula masuk ke negara ini untuk melanjutkan pengajian.

Sebab itu, jarang sekali kita melihat warga Afrika di negara ini bekerja di kawasan pembinaan seperti warga Indonesia, atau bekerja kilang seperti warga Nepal, apatah lagi bekerja di restoran seperti warga Bangladesh.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pada 2015 mendesak kerajaan memperketatkan syarat kemasukan warga Afrika ke negara ini yang memberi alasan mahu melanjutkan pelajaran.

“Beberapa aduan yang PPIM terima mendapati selepas mereka mendaftar masuk di institusi pengajian tinggi, ramai warga Afrika tidak mengikuti kuliah. Sebaliknya menghilangkan diri dan menimbulkan pelbagai masalah,” katanya.

Empat tahun berlalu, kenyataan Nadzim bagai tiada kesan walaupun sudah banyak tersiar dalam media massa pelbagai kes jenayah membabitkan warga Afrika sehingga mendatangkan kebimbangan kepada rakyat tempatan.

Tidak dinafikan, tidak semua warga Afrika masuk ke negara ini melakukan jenayah kerana ada juga yang menjaga kelakuan mereka. Namun ibarat ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’, perbuatan segelintir warga Afrika yang terlibat dalam jenayah menyebabkan semua mereka terpalit imej tidak baik.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mendedahkan, sepanjang 2018 sehingga kini, seramai 282 warga Afrika telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen sepanjang 2018 hingga kini.

Begitu juga penipuan melibatkan mata wang asing atau black money scam, penipuan dilakukan sindiket warga Afrika dengan memperdaya mangsa terutama rakyat tempatan yang dikenali di laman sosial untuk mengeluarkan sejumlah wang.

Maka, tidak hairanlah ada warga Afrika berstatus pelajar kolej boleh hidup mewah tinggal di kondominium di Cyberjaya dengan sewa antara RM1,000 dan RM2,000 sebulan serta menaiki kereta mewah sehingga menimbulkan persoalan: “Mana mereka ambil duit?”

Cuma persoalan yang masih berlegar di kepala masyarakat tempatan, mengapa Malaysia masih menjadi pilihan penjenayah warga Afrika untuk melakukan scammer.

Jawapannya mudah, penjenayah warga Afrika ini menganggap rakyat Malaysia mudah ditipu walaupun kegiatan mereka sudah berulang kali didedahkan oleh media massa.

Depresi pembunuh senyap remaja Malaysia

in Analisis Sinar by

MINGGU lalu pada tanggal 14 Mei, kita dikejutkan dengan berita seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membunuh diri dengan terjun dari bangunan tiga tingkat di Kuching, Sarawak.

Remaja malang itu bertindak sedemikian selepas membuat undian secara langsung di laman Instagramnya dengan menulis Really Important, Help Me Choose D/L (mati atau hidup). Undian itu memperoleh keputusan 69 peratus menyokongnya supaya membunuh diri!

Mengapa dia memutuskan untuk mengakhiri riwayatnya? Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan menjelaskan remaja itu tertekan selepas bapa tirinya berkahwin dengan wanita Vietnam di Singapura dan jarang pulang ke rumah.

Kata kunci terhadap tindakan tersebut ialah dia tertekan dan ini adalah sebahagian daripada gejala depresi!

Kejadian yang berlaku itu mendapat perhatian serius Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengakui beliau sebelum ini pernah mengalami tekanan dan kemurungan tetapi bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan rapat.

Bukan semua isu mental sama dengan istilah gila. Masyarakat perlu faham asas gejala mental. Masalah kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan (depression) dan ketegangan jiwa (stress) bukan istilah gila.Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 sebelum ini membuktikan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.

Kajian sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

Statistik berkenaan membuktikan isu kesihatan mental di Malaysia, khususnya dalam kalangan anak muda amat serius dan perlu ditangani secara berkesan oleh semua pihak.

Namun, isu kesihatan mental kurang mendapat perhatian di negara ini kerana ia menjadi taboo dalam kalangan masyarakat menyebabkan mereka yang berhadapan masalah mental tidak mendapat rawatan.

Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang sihat. Kurangnya pendedahan tentang depresi itu menjadi punca rakan remaja perempuan tersebut menyokongnya membunuh diri.

Isu depresi ini bukanlah isu yang berlegar di Malaysia sahaja. Di peringkat global, kesannya lebih parah. Di India pada April lalu, sekurang-kurangnya 20 remaja membunuh diri hanya disebabkan mereka gagal dalam peperiksaan zoologi.

Khaleej Times melaporkan, episod bunuh diri itu berlaku selepas lembaga peperiksaan mengumumkan keputusan ujian yang memperlihatkan hampir satu juta pelajar gagal.

Bagi mengelakkan pertambahan jumlah bunuh diri dalam kalangan pelajar, pihak berwajib India mengumumkan keputusan peperiksaan itu berlaku kesilapan! Jelas kenyataan pihak berkuasa India membuktikan depresi golongan remaja tidak boleh dipandang enteng.

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye tahun lalu menegaskan, depresi atau kemurungan bakal menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020 susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga.

Jelasnya, beberapa langkah yang boleh dipraktiskan untuk mencegah depresi dan kecelaruan adalah dengan bersenam secara konsisten, tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari dan elakkan platform media sosial seperti WhatsApp sekurang-kurangnya 45 minit sebelum masuk tidur.

Bagi Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya pula, depresi dan kecelaruan boleh dirawat jika dikesan awal. Begitu dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di mana beliau mengingatkan bahawa jangan memandang serong terhadap isu kesihatan mental.

Natijahnya, semua pihak perlu menyedari depresi boleh diubati lebih awal jika kita tahu gejalanya.

Syed Saddiq ketika berucap pada Youth Mental Health Dialogue: Are You Okay di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia baru-baru ini berkata, adalah penting untuk mengesan tanda kemurungan lebih awal.

Selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab marilah kita menjadi seorang pendengar dan jangan sesekali mengetepikan mereka.

Berpakaian hingga menimbulkan fitnah

in Pojok by

MUNGKIN ramai yang pandang sinis terhadap operasi pakaian ketat dan menjolok mata. Mungkin ada juga yang menganggap operasi itu kolot dan ketinggalan zaman.

Namun usaha kerajaan Kelantan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) adalah untuk mendidik masyarakat Islam menjaga etika dalam berpakaian.

Sesuai dengan jolokan Negeri Serambi Makkah dan slogan kerajaan negeri Membangun Bersama Islam, operasi Jaheik itu bertepatan syariat agama.

Wanita berpakaian ketat bak pembalut nangka hingga tertonjol yang apa sepatutnya disembunyikan pastinya menimbulkan fitnah dalam khalayak awam.

Apatah lagi dalam bulan mulia ini, bila berpakaian menampakkan susuk tubuh, pergi pula ke bazar Ramadan mahu tak terbeliak mata lelaki hatta pak haji pun terangkat kopiahnya!

Takut nanti ramai lelaki yang ke bazar Ramadan bukan nak cari juadah berbuka tetapi nak ‘berbuka mata awal’ dengan pelbagai jenis bentuk badan cek mek manis.

Bergaya untuk nampak cantik tidak salah tetapi biarlah berpakaian yang tidak membangkitkan nafsu si lelaki yang melihatnya dan tidak melanggar syariat agama.

Maruah diri dan keluarga perlu difikirkan sama kerana tingkah-laku kita pasti berkait rapat dengan kaum kerabat.

Operasi itu bukan hanya menyasarkan orang perempuan tetapi juga lelaki kemaruk nak berpakaian macam wanita. Itu juga perbuatan tidak sopan.

Perlu difahami dan dihayati bahawa operasi pakaian ketat yang dilakukan kerajaan Kelantan ini lebih kepada usaha mendidik umat Islam supaya mematuhi tuntutan syariat secara holistik dalam bab menutup aurat dengan sempurna.

Sebab itu Jaheik cuba beri kesedaran kepada wanita Kelantan agar menjaga tata berpakaian supaya dalam ghairah ‘berjangok’ (bergaya) mereka tidak melupakan tuntutan agama.

Mereka yang dikenakan notis akan diberi khidmat nasihat dan kaunseling supaya timbul kesedaran.

Bak kata orang tua-tua apa yang boleh dipesankan kena selalu diingatkan; yang tak boleh diingatkan kena ditegaskan!

Jenayah pendatang tanpa izin

in Lidah Pengarang by

PENDATANG asing dan jenayah ialah dua isu yang saling berkait dan menjadi permasalahan sejak sekian lama di Malaysia.

Biarpun bukan majoriti pendatang asing terbabit dengan perlakuan jenayah, namun keterlibatan segelintir daripada mereka dalam gejala itu semakin membimbangkan.

Jenayah samun, rompakan, sindiket penipuan, pemalsuan dokumen dan black money adalah antara kesalahan yang sering direkodkan.

Terbaharu, minggu lalu kita digemparkan dengan berita pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin di kondominiumnya di Cyberjaya yang dikaitkan dengan lelaki warga Nigeria.

Kisah tragis itu adalah satu lagi daripada beratus-ratus kes jenayah yang membabitkan warga Afrika yang semakin membarah.

Kebanyakan Awang Hitam ini menggunakan pas lawatan sosial dan juga pas pelajar sebagai ‘tiket’ untuk masuk ke negara kita.

Tapi selepas itu mereka mula menjalankan pelbagai kegiatan lain seperti berniaga secara haram, membentuk kumpulan penipuan dan bermacam lagi kegiatan jenayah lain.

Kawasan Ampang, Gombak, Cheras dan Petaling Jaya cukup dikenali sebagai tempat warga Afrika ini berkampung dan lebih mengejutkan ada sesetengah tempat itu mendapat gelaran Little Africa.Arahan terbaharu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan pemantauan ke atas penempatan warga Afrika menunjukkan pihak berkuasa semakin serius mahu menangani isu jenayah membabitkan pendatang asing itu.

Beliau berkata, pelaku jenayah warga asing itu majoritinya datang ke Malaysia memang dengan niat hendak melakukan jenayah.

“Seperti warga Afrika, mereka umpan dan perdaya mangsa. Kemudian mereka datang ke Malaysia dengan niat menipu mangsa. Saya tidak merujuk kepada kes Siti Kharina. Tetapi berdasarkan kes-kes sebelum ini, kebanyakannya memang begitu senarionya,” kata beliau.

Komitmen yang ditunjukkan oleh PDRM itu memberi isyarat jelas bahawa pihak berkuasa tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pendatang asing yang berniat menjadikan negara ini sebagai lubuk jenayah mereka.

Wakil rakyat wanita lebih berani

in Pojok by

RAMAI pengundi di kawasannya rasa kecewa apabila wakil rakyat mereka ini jarang berdiri bertanya soalan dan bersuara menyertai perbahasan di Parlimen.

Mereka mula rasa menyesal mengundinya walaupun nampak beliau cukup rajin ketika berkempen agar diberi sokongan kepadanya.

Merak Jalanan pun perasan keadaan ini kerana beliau agak berat untuk buka mulut bertanyakan soalan atau beri apa-apa cadangan sepanjang sesi di Dewan Rakyat.

Yang Berhormat (YB) ini ialah seorang wanita yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik. Namun beliau melakukan comeback pada PRU14.

Kini sudah setahun dia berkhidmat di kawasan pilihan rayanya.

Apa yang menariknya, ketika beliau dilihat tidak hebat di Parlimen, tetapi apabila bekerja untuk pengundinya, ramai yang cukup teruja.

Beliau dipuji kerana rajin dan tegas.

Pendek kata, prestasinya adalah ketika berkhidmat untuk pengundi dan bukan ketika berucap dalam Parlimen.

Buktinya, pada bulan lalu, beliau telah berjaya mengarahkan pihak berkuasa tempatan merobohkan sebuah premis yang didakwa telah menjalankan perniagaan di atas tanah kerajaan secara haram sejak 20 tahun yang lalu.

Keberanian YB wanita ini terserlah kerana beliau tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba melindungi kegiatan-kegiatan yang melanggari undang-undang.

Wakil-wakil rakyat sebelum ini (semuanya wakil rakyat lelaki) dikatakan gagal menyelesaikan masalah ini walaupun menerima banyak aduan daripada penduduk setempat.

Setelah premis itu dirobohkan yang turut mendapat liputan di akhbar, ramai pengundinya amat berterima kasih atas usaha YB mereka.

Ada juga yang kurang percaya bagaimana beliau berjaya menamatkan kes itu dengan mudah.

Ada ura-ura menyatakan YB ini bukan sahaja tidak ikut telunjuk pihak yang menentangnya tetapi beliau turut kuat menentang sebarang perbuatan rasuah dan penyelewengan.

Cara YB ini bekerja patut jadi contoh kepada wakil rakyat lain bahawa kaum hawa lebih berani bela nasib rakyat daripada YB lelaki!

Kembali UTAMA