PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

June 2019

Abu Kassim dedah pernah dilabel sebagai pembelot negara

in Bicara Minda by
Abu Kassim

SHAH ALAM – Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mendedahkan pernah dilabel sebagai pembelot negara ketika siasatan awal kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bentuk ancaman diterimanya ketika menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2014 hingga 2015.

“Ancaman memang ada, kerja SPRM memang ada cuma lebih tinggi sewaktu siasatan SRC dan 1MDB.

“Saya juga terima ancaman bakal berdepan hukuman penjara 20 tahun. Saya tak mahu bongkar lagi, biarlah kes ini diadili di mahkamah,” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian, di Kompleks Media Karangkraf di sini hari ini.

Beliau juga menjadikan perkara yang berlaku sebelum ini sebagai pengajaran besar dalam kerjayanya memerangi rasuah.

“Apa yang berlaku pada masa lepas saya gunakan untuk pastikan SPRM benar-benar bebas dan jalankan tugas berkesan,” katanya

MPV rempuh penunggang motosikal bukan di Jalan Tun Razak

in Fakta Auta by
Paparan skin menunjukkan penunggang motosikal yang sedang berteduh di rempuh oleh kenderaan MPV terbabit.

AUTA

SHAH ALAM – Satu klip video berdurasi 1:05 minit tular di media sosial memaparkan satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh pengguna motosikal di sebuah terowong di dakwa berlaku di ibu kota.

Menerusi klip video terbabit, kenderaan MPV tersebut dilihat dipandu laju sebelum merempuh beberapa penunggang motosikal yang sedang berteduh di terowong terbabit.

Malah, seorang penunggang motosikal turut dikesan tercampak ke tengah jalan selepas dirempuh oleh kenderaan MPV tersebut.

“Terowong Jalan Tun Razak. Jangan berhenti di kawasan bahaya. Biar basah janji sampai rumah, bukan hospital. Ride safely and safety first,” tulisnya.

FAKTA

Menerusi semakan Sinar Harian mendapati kejadian tersebut bukannya berlaku di Jalan Tun Razak seperti didakwa oleh pihak berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Zulkifli Yahya mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku di luar negara dan bukannya di Malaysia.

Beliau berkata, menerusi semakan dilakukan oleh pihaknya mendapati jenis motosikal dan nombor pendaftaran kenderaan tersebut juga adalah dari negara luar.

“Bukan Malaysia. Nombor pendaftaran dan jenis motosikal itu bukan dari negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Zulkifli, pihaknya turut menyarankan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berwajib.

Cara simpan pewangi agar tahan lama

in Lifestyle by

PEWANGI dan wanita memang tidak dapat dipisahkan. Kaum wanita amat gemarkan pewangi, tidak kisah harganya mahal atau murah. Apa yang penting baunya yang mampu memikat hati. Pun begitu, masih ramai yang menyimpan pewangi dengan cara yang salah hingga baunya tidak kekal lama. Jom ikuti cara-cara penyimpanan yang tepat.

1) Simpan pewangi dalam peti sejuk.

Agak pelik bukan, ia sebenarnya dapat membantu untuk memanjangkan jangka hayat pewangi. Namun begitu, jangan simpan pewangi terlalu rapat dengan produk makanan lain kerana ia mampu menyerap bau. Contohnya, mentega.

2) Jangan sesekali goncang botol pewangi

Tindakan menggoncang pewangi sebelum digunakan adalah cara yang salah. Ia mitos semata-mata. Anda perlu tahu bahawa pewangi sememangnya direka untuk kekal sama rata bercampur jika ia disimpan dengan betul.

3) Simpan jauh daripada haba.

Tempat sejuk, kering dan jauh daripada cahaya matahari adalah tempat yang sesuai untuk menyimpan pewangi. Ingat, haba yang terlampau panas atau sejuk boleh menjejaskan keseimbangan minyak sekali gus dapat menukar bau pewangi itu.

4) Simpan dalam almari pakaian atau kotak hiasan

Almari pakaian adalah tempat yang paling sesuai untuk menyimpan minyak wangi kerana keadaannya yang gelap dan bebas daripada kelembapan yang berlebihan. Selain itu, anda boleh menyimpannya dalam kotak hiasan yang tertutup.

5) Jangan simpan dalam kenderaan

Tindakan menyimpan pewangi dalam kenderaan menyebabkan bau dan kandungannya tidak bertahan lama. Udara dalam kenderaan akan bertukar dari panas kepada sejuk bergantung kepada cuaca.

Kaedah asas pujuk anak enggan makan

in Lifestyle by

PERKARA biasa apabila seorang ibu risau melihat anaknya enggan makan walau sudah dipaksa. Pelbagai cara dibuat untuk memujuk, namun anak masih tidak mahu makan.

‘Apakah masalah yang dihadapi oleh anak ini?’ Ini selalunya pertanyaan yang terdetik dalam hati.

Sebenarnya ia sebahagian daripada perkembangan normal psikologi kanak-kanak dan ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Masalah ini jarang disebabkan oleh penyakit serius.

Kanak-kanak yang berumur antara satu hingga lima tahun biasanya takut untuk mencuba makanan baru yang diperkenalkan kepada mereka.

Kanak-kanak memilih makanan dan akan makan makanan tertentu yang digemari sahaja.

Keengganan untuk makan merupakan sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak. Pada amnya, kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit.

Bagaimanapun, jika kanak-kanak mengalami gejala seperti penurunan berat badan, muntah berulang, perkembangan yang perlahan dan tercekik, anda perlu bawa anak berjumpa doktor.

Jika tiada komplikasi berlaku sekiranya perkembangan dan pertumbuhan anak anda normal. Walaupun anak anda hanya mengambil beberapa jenis makanan sahaja, ini tidak bermakna anak anda mengalami kekurangan zat makanan.

Ikuti tip ini untuk membantu kanak-kanak berselera untuk makan:

1. Berikan makanan yang sering dielakkan oleh anak anda pada masa yang lain. Terus berusaha dan jangan putus asa.

2. Terus memperkenalkan makanan baharu kepada anak anda.

3. Sediakan makanan yang berbeza (termasuklah makanan yang disukai oleh anak anda ) pada setiap waktu makan.

4. Hidangkan makanan dalam pelbagai bentuk yang menarik.

5. Elakkan makanan manis seperti gula-gula antara waktu makan.

6. Makan bersama ahli keluarga akan menggalakkan anak anda makan. Ia juga memberi anda peluang memberi perhatian dan mengajar anak anda makan.

7. Berikan pujian jika anak anda mula makan jenis makan yang selama ini ditolak olehnya.

Sumber: MyHealth

Cara menegur aurat saudara-mara ketika beraya di kampung

in Lifestyle by

SETIAP kali Hari Raya Aidilfitri, warga kota akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jika bukan kampung sekalipun, pasti kita akan berkumpul di rumah orang tua atau saudara-mara.

Pada masa inilah semua adik-beradik, ipar-duai, biras dan sepupu berkumpul untuk sama-sama meraikan lebaran.

Walaupun dalam satu keluarga, batas-batas aurat masih perlu dijaga terutama jika ada ipar-duai, biras dan sepupu duduk dalam satu bumbung yang sama.

Kadangkala ada yang terkhilaf dalam hal itu.

Bagaimana kaedah yang kita boleh gunakan untuk menegur dan menasihati ahli keluarga kita untuk menjaga aurat dan pada masa sama turut menjaga hati golongan yang lebih berusia daripada kita?

Sebelum menjawab persoalan itu, Islam sebenarnya sudah menggariskan batas aurat bagi lelaki dan perempuan.

Setiap umat Islam wajib menjaga aurat dan kehormatan di mana sahaja dia berada.

Aurat ialah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain.

Firman ALLAH SWT: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Berdasarkan ayat al-Quran itu, para ulama menetapkan hukum wajib untuk menutup aurat bagi lelaki dan perempuan.

Justeru, aurat wajib dijaga daripada dilihat dan dipandang oleh orang lain dalam apa jua keadaan.

Selain itu, kita juga perlu menjaga pandangan daripada melihat aurat orang lain.

Apabila kita pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya, tidak dinafikan memang kadangkala ada yang culas dalam hal batasan aurat.

Jadi, ia hendaklah dicegah dengan hikmah dan mengikut kemampuan yang ada.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Antara kaedah yang difikirkan sesuai untuk menegur:

1. Menyampaikan pesanan kepada ahli keluarga yang paling berpengaruh seperti bapa atau anak sulung dalam keluarga agar menasihati dan mengambil cakna tentang hal itu.

2. Mengasingkan tempat dan membuat penghadang antara lelaki dan perempuan dalam kalangan sepupu, ipar-duai dan biras bagi menjaga aurat masing-masing khususnya ketika menukar pakaian, tidur dan sebagainya.

3. Menghantar tazkirah berkaitan aurat yang perlu dijaga di dalam group WhatsApp keluarga dan saudara-mara.

4. Membuka topik berbualan sesama sanak saudara berkaita aurat dan menimbulkan kesedaran kepada mereka untuk menjaganya.

5. Menghadiahkan kepada saudara-mara yang tidak menutup aurat dengan pakaian yang berjenama agar dia terdorong untuk memakainya.

Semoga ALLAH terus memberikan taufik dan hidayah kepada kita serta keluarga untuk terus beramal soleh dan taat kepada perintah-Nya.

(Sumber: Al-Kafi #1218: Kaedah Menegur Aurat Saudara-Mara Ketika Beraya di Kampung, Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan)

The Primadona Series inspirasi karakter Erra Fazira

in Lifestyle by

SOFEAROSE secara eksklusif melancarkan koleksi hijab terbaharu mereka, The Primadona Series dengan mempertaruhkan tiga koleksi berlainan cerita.

Ia hasil kolaborasi idea bersama pelakon, penyanyi dan juga primadona filem Melayu, Fazira Wan Chek atau nama popularnya, Erra Fazira. Lakaran kehidupan seorang primadona yang pernah dilalui selebriti terkenal itu cuba diterjemahkan ke dalam hijab berkenaan.

Pengarah Seni Sofearose, Farrah Aina berkata, elemen bagi setiap siri hijab The Primadona Series diinspirasikan daripada personaliti dan karakter Erra sendiri.

“Setiap mainan warna yang dipertaruhkan juga merupakan simbolik kepada diri Erra yang dilihat seorang wanita yang berani, berdikari dan berjaya di dalam kelasnya yang tersendiri.

“Dari segi pemilihan fabrik, kami memilih material satin matte yang sinonim dengan cita rasa mewah. Pun begitu, kami masih mengekalkan identiti Sofearose yang patuh syariah pada setiap 12 warna yang dipertaruhkan untuk rangkaian selendang labuh dan selendang empat segi,” katanya ketika program pelancaran The Primadona Series Show di The Ame Soeur, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teruja

Erra yang ditemui selepas itu berkata, beliau berasa teruja dengan kejayaan kerjasama pertama beliau bersama Sofearose. Beliau juga mengakui gelaran primadona yang digalasnya itu adalah satu tanggungjawab yang amat besar.

“Dari segi pemilihan warna, warna bold (berani) dan classy menjadi pilihan kerana itulah identiti sebenar seorang primadona. Begitu juga dengan reka bentuknya yang mempunyai elemen dan ceritanya tersendiri mengenai istilah primadona.

“Jangkaan peminat Sofearose dan Erra amat tinggi, jadi, kami akan pastikan hasilnya adalah selari dengan kelas primadona itu sendiri,” katanya yang bakal muncul dengan lagu terbaru bertajuk Menangkah Cinta ciptaan Hafiz Hamidun selepas Aidilfitri nanti.

Koleksi The Primadona Series boleh didapati melalui laman web www.sofearose.com atau di Butik Sofearose Melawati Mall, Shah Alam dan Bangi Sentral pada harga RM129 sehelai.

Tip ‘sejukkan diri’ hadapi kritikan

in Lifestyle by

TENTU kita sudah biasa dengan ‘kerja-kerja’ mengkritik. Tapi bagaimana pula jika diri sendiri pula yang dikritik?

Bayangkan kalau terkena batang hidung sendiri, bagaimanakah penerimaan anda?

1) Supaya tidak murung sendiri apabila anda dikritik, ini antara tip yang boleh anda ikuti:

– Berada dalam keadaan santai, tarik nafas panjang nyatakan atau lafazkan perkataan “tenang” (relaks).

– Bayangkan anda berada di tempat yang selamat untuk beberapa saat. Buat keputusan apa yang patut diterima atau dipercayai.

– Anda tidak perlu menerima semua kenyataan yang dibuat mengenai diri anda, anda boleh memilih untuk menerima atau menolak kritikan tersebut kerana anda sendiri yang lebih mengetahui tentang diri anda.

2) Jika kritikan itu membina dan bertepatan dengan diri anda:

– Terima kesilapan dan akui kritikan itu betul.

– Memohon maaf.

– Ambil langkah untuk membetulkan keadaan tersebut.

3) Jika kritikan tepat tetapi tidak membina:

– Akui kesilapan.

– Beri jawapan yang tegas terhadap kritikan yang menyinggung perasaan.

– Ambil langkah pembetulan.

4) Jika kritikan tidak tepat:

– Dapatkan maklumat lanjut.

– Betulkan kesilapan maklumat yang dibangkitkan.

5) Jika kritikan tidak mesra dan ketepatannya merupakan hanya satu pandangan:

– Cari jalan persetujuan.

– Minta pendapat dan cadangan.

– Fikirkan untuk menggunakan komponen bahasa tanpa lisan bagi komunikasi yang asertif contohnya duduk dengan tegak dan meyakinkan, nada suara yang terang dan tegas serta pandang tepat ke mata pendengaran.

– Langkah-langkah ini juga akan membantu anda memberi jawapan dan dihormati.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my

Jangan membalas cacian orang kepada kita

in Lifestyle by

APABILA berdepan kata cacian ditujukan kepada kita, memang tiada siapa yang dapat menahan betapa sakitnya hati ini tatkala mendengarnya.

Adakah kita patut membalasnya atau berdiam diri dan memekakkan telinga sahaja?

Sebagai orang Islam yang beriman, kita sebenarnya mempunyai dua pilihan untuk bertindak.

Pertama, lakukan tindakan yang mendatangkan pahala dan lagi satu tindakan yang memenuhkan ‘saham’ dosa.

Jadi, mana satu pilihan kita?

Sebaiknya, pilihlah tindakan yang mendatangkan pahala kepada kita iaitu berdiam diri adalah lebih baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada orang yang mencaci maki kamu tentang apa yang dia ketahui pada dirimu, janganlah kamu mencaci maki dia tentang apa yang kamu ketahui pada dirinya kerana pahalanya untuk kamu dan kecelakaan untuk dia.” (Riwayat Ad Dailami)

Hadis itu mengingatkan kita agar jangan mudah melatah apabila dicaci, dikeji atau diumpat.

Serahkan semua itu kepada ALLAH SWT.

Contohilah sikap Rasulullah SAW yang sentiasa bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT.

Malah, baginda tidak pernah membalas dengan kata-kata kesat. Sebaliknya, hanya tersenyum dan menasihati secara berhemah serta tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.

Salah seorang sahabat yang rapat dengan baginda SAW, Anas bin Malik RA menceritakan, Rasulullah tidak pernah melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mencaci maki.

Kata Anas bin Malik lagi, ketika seseorang mencela baginda SAW sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang sepatutnya sahaja.

Belajarlah untuk menerima segala kepahitan cacian orang kepada kita dengan bersikap terbuka dan mengadulah pada ALLAH SWT.

Sesungguhya, pahala yang kita cari, bukannya perkara yang mendatangkan dosa.

(Sumber: Mohd Nasruddin Dasuki)

Resipi teh halia untuk tingkat metabolisme

in Lifestyle by

TAHUKAH anda bahawa halia adalah sejenis tumbuhan yang banyak khasiatnya?

Selain mengeluarkan angin dalam badan, ia juga berfungsi meningkatkan metabolisme dan membakar kalori kerana sel tubuh harus mengeluarkan tenaga ekstra hingga 20 peratus untuk mengolahnya.

Khasiat lain halia ialah meningkatkan suhu tubuh hingga merangsang mekanisme pembakaran lemak dalam tubuh.

Bagaimana caranya? Mudah sahaja.

1) Ambil tiga batang serai dan tiga inci halia (diketuk).

2) Masukkan kesemua bahan tersebut bersama air dalam periuk, masak atas dapur api sederhana.

3) Perlahankan api, masak dalam satu jam hingga air bertukar warna ala-ala teh o.

4) Tunggu sejuk dan sedia diminum.

Minum setiap pagi atau malam ya. Selamat mencuba!

1 2 3 5
Kembali UTAMA