Gerakan besar-besaran gempur penjenayah kes penipuan

in Bicara Minda by
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika bercakap dalam program Bicara Minda di Dewan Karangkraf di sini hari ini. – Foto Rosli Talib

SHAH ALAM – Satu gerakan besar-besaran untuk menangkap penjenayah kes penipuan termasuk individu-individu ternama akan dilaksanakan bagi membendung kes jenayah komersial daripada berleluasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sehingga kini, polis sudah mengenal pasti sejumlah 715 kes jenayah komersial yang selama ini menyebabkan mangsa memendam rasa selama bertahun-tahun.

Menurutnya, tindakan undang-undang tidak dapat diambil terhadap pelaku jenayah komersial sebelum ini disebabkan bahagian siasatan jenayah terbeban dengan siasatan kes 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB) dan syarikat SRC International.

“Polis kini ambil iktibar untuk menyemak kembali kes penipuan termasuk melibatkan orang ternama dengan sedikit hari lagi mereka bakal diambil tindakan.

“Selepas ini, satu gerakan besar-besaran akan diambil terhadap mereka yang membuatkan mangsa memendam rasa selama bertahun- tahun,” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian di Dewan Karangkraf di sini hari ini yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.