PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

November 2019

Jujur, telus laksana amanah rakyat

in Bicara Minda by
Tan Sri Arshad Ayub ketika hadir dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar di Dewan WUI, Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam. -FOTO MOHD IZARI ROSLI

MUKADIMAH

Tokoh akademik, Tan Sri Arshad Ayub berjaya membangunkan pendidikan profesional dalam kalangan anak Melayu.

Bekas pengarah pertama Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau dikenali sebelumnya sebagai Institut Teknologi Mara (ITM) itu berkhidmat dari tahun 1967 hingga 1975.

Arshad yang kini berusia 91 tahun juga sebagai ‘arkitek’ penubuhan organisasi yang menjadi gedung modal insan peribumi yang teragung di Malaysia.

Dilahirkan pada 15 November 1928 di Muar, Johor perjuangan tokoh itu membangunkan pendidikan profesional melahirkan ramai golongan bumiputera profesional dan terkemuka negara.

Ikuti luahan dan harapan tokoh akademik terulung itu dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar di Dewan WUI, Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.

“Bagi saya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika ini kalau hendak memajukan orang Melayu, mereka ada banyak kerja dan amanah perlu dilaksanakan.

Mereka kena memahami aspirasi penubuhan Mara dan saya juga mempersoalkan adakah setiap individu menjalankan tugas diberikan (agensi itu) faham soal kejujuran, ketelusan dan amanah dalam setiap tugasan diberikan?

Masalah orang Melayu saya lihat adalah apabila mereka tidak menjalankan tugas diamanahkan, sebaliknya mereka anggap (amanah itu) sebagai makan gaji.

Sehingga kini UiTM menerima dana berjumlah RM2.4 bilion setahun daripada kerajaan selain penubuhan banyak fakulti pengajian menawarkan jurusan berkualiti.

Tetapi adakah kita berjaya melahirkan ramai tokoh profesional Melayu terkemuka ketika ini? Saya tidak berani cakap, tetapi apabila objektif (penubuhan UiTM) tidak tercapai, kita kena cari jalan pastikan objektif itu tercapai.

Penekanan Bahasa Inggeris faktor graduan ITM laris

“Penekanan Institut Teknologi Mara(ITM) menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pada peringkat awal penubuhannya menjadi faktor utama graduan keluaran institusi itu laris dalam pasaran industri negara.

Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sebalik fenomena Nasionalisme Linguistik berlaku sekitar tahun 70an disebabkan saya memperkenalkan pelbagai kursus bertaraf profesional seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Pensyarah yang bertugas ketika itu terdiri daripada 70 peratus golongan profesional yang berkhidmat secara separuh masa dan komited menguruskan ITM.

Ditambah pengenalan banyak kursus bertaraf profesional, kita juga terpaksa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kerana 90 peratus pensyarah tidak fasih berbahasa Melayu.

Lagipun bagi saya untuk keperluan industri pada masa hadapan, penggunaan bahasa Inggeris sahaja dianggap sesuai untuk pengajaran.

SH: Kemajuan bahasa Melayu bergantung kemajuan bangsa

“Kemajuan bahasa Melayu akan mengikut kemajuan bangsa kita. Kemajuan bangsa itu mesti hadir dahulu barulah disusuli kemajuan bahasa.

Kalau kita berjaya melakukannya, bangsa kita akan lebih dihormati. (Malangnya) ini kita tidak ada…Macam mana hendak bercakap soal maruah kalau bangsa itu sendiri kurang maju.

Kita kena memperbaiki dan pertingkat diri kita baru orang akan orang hormati kita. Pada saya maruah bergantung kepada kebolehan kita untuk memajukan diri dan bangsa sendiri.

Kemiskinan bukan halangan maju ke hadapan

“Saya percaya segala kejayaan dicapai saya hari ini serta kepercayaan diberikan dalam menggalas tugas-tugas penting di pelbagai jabatan antaranya sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) termasuk

di Lembaga Pembangunan Industri Desa (Rida), ia banyak dibantu oleh faktor latar belakang kehidupan saya sebelum ini.

Saya banyak memiliki banyak kekurangan dari segi kemiskinan dan pendidikan tetapi ia tidak dijadikan sebagai halangan untuk terus maju ke depan.

Berhubung nilai-nilai orang Melayu pada hari ini yang semakin pudar, saya agak sukar memberi gambaran yang tepat kerana sudah banyak bercampur dengan nilai-nilai orang lain.

Lebih susah kerana kita ada nilai-nilai yang baik tapi kadang-kadang tidak cuba memperkasakannya,” katanya.

Tak logik saman kerana tak pakai seluar dalam: Pengarah JPJ

in Fakta Auta by
Notis asal dikeluarkan JPJ dan notis yang telah diubah suai.

SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menafikan dakwaan anggotanya mengenakan kompaun terhadap seorang pemandu lori atas kesalahan tidak memakai seluar dalam, susulan tular di media sosial Facebook baru-baru ini.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, notis larangan penggunaan kenderaan atau PG1 yang diberi kepada pemandu berkenaan dalam sekatan jalan raya Ops Statik di Kilometer 10 Jalan Seremban-Port Dickson pada Isnin lalu itu sebaliknya telah diubah suai.

Menurutnya, anggotanya telah mengeluarkan notis berkenaan selepas pemeriksaan kenderaan mendapati tayar gandar dua kiri bahagian dalam telah botak atau terkoyak.

“Notis itu untuk mengarahkan pemandu menukar tayar yang telah rosak dan perlu hadir ke JPJ untuk pemeriksaan lanjut bagi elak dikenakan tindakan saman, tapi kita dapati salinan notis diberi telah ditambah ayatnya iaitu kesalahan lain adalah tidak memakai seluar dalam dikompaun RM600.

“Sangat tidak logik kita beri saman atas kesalahan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas beliau, notis PG1 dikeluarkan bagi kesalahan berkaitan kesalahan teknikal kenderaan sahaja, bukannya berkaitan dengan tata kelakuan pemandu seperti mana yang telah diubah suai pada notis tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban semalam sebagai penafian sekali gus mengelakkan orang ramai salah faham terhadap jabatan itu.

“Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku kepada JPJ Negeri Sembilan dan saya harap orang ramai jangan mudah percaya dan semak dulu dengan kita jika ada penyebaran fitnah sebegitu,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut berkongsi maklumat sebenar mengenai perkara itu di Facebook JPJ Negeri Sembilan dan turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang meminta jabatan berkenaan mengambil tindakan saman.

Pengguna Facebook, Zuone Zal meninggalkan komen, “Saman baliklah, saman fitnah. Ajar sikit, tau nak ‘kondem’ orang saja. Dah buat salah, terimalah.”

Cermin Kehidupan pula menulis, “Kasi ajar, jangan beri muka pada kaki ‘spin’ (putar belit) ini. Semua benda nak edit (sunting), buat panas line orang. Nampak benar tipu, deme (mereka) tambah.”

Kembali UTAMA