PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

May 2020

Buka semula masjid kepada umum

in Lidah Pengarang by

SEHINGGA semalam, Arab Saudi mencatatkan jumlah jangkitan positif Covid-19 hampir 84,000 orang, manakala kematian sebanyak 480 orang. Dan setelah lebih dua bulan ditutup, Masjid Nabawi di Madinah dibuka kepada umum untuk solat berjemaah.

Pembukaan semula rumah ALLAH tersebut memberikan kegembiraan kepada umat Islam yang rindu untuk beribadat di masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW pada 622 Masihi itu.

Bahkan rata-rata umat Islam melihat pembukaan tersebut sebagai sinar kepada umat Islam di negara lain untuk kembali mengimarahkan masjid dan surau dengan normal baharu.

Ketika siaran langsung solat Subuh terus dari Masjid Nabawi, dapat dilihat jemaah mengamalkan penjarakkan sosial dengan solat dalam saf tetapi tidak rapat seperti sebelum ini, membawa sejadah sendiri dan memakai topeng muka.

Jemaah juga tidak berhimpit-himpit sebelum dan selepas solat kerana mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Begitu juga di Baitulmaqdis, Masjid al-Aqsa telah dibuka dan kira-kira 700 jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah semalam.

Negara Malaysia, dengan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 7,819 dan kematian sejumlah 115 orang perlu mempertimbangkan untuk membuka semula kepada umum solat berjemaah di masjid dan surau bermula pada 10 Jun ini.

Pihak berkuasa majlis agama negeri-negeri sewajarnya mempertimbangkan kewajaran berkenaan berdasarkan kepada kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia adalah rendah.

Tambahan pula, jemaah yang selalu ke masjid dan surau adalah golongan yang berdisiplin dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Jemaah juga diyakini akan memastikan segala langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya supaya tiada jangkitan Covid-19 berlaku di kariah masing-masing.

Semoga dengan pembukaan semula kepada umum, semangat juang untuk menamatkan Covid-19 di Malaysia akan bertambah kuat dengan pertolongan ALLAH SWT.

Covid-19 tidak mampu tewaskan durian

in Pojok by

SEMALAM ada kalangan ahli keluarga Merak Jalanan yang teringin nak makan durian. Sebenarnya Merak Jalanan tidak suka ke tempat awam disebabkan Covid-19 ini, tetapi dek kerana permintaan dan harapan mereka yang mahukan durian, kerisauan mengenai Covid-19 diketepikan demi durian.

Maka misi mencari buah durian pun segera dilakukan di sekitar Lembah Klang.

Setelah banyak tempat ditinjau dan diperhatikan, ternyata sepanjang misi pencarian itu, harga durian tidak mengalami sebarang perubahan walaupun dengan kehadiran pandemik koronavirus Covid-19.

Covid-19 yang mencemaskan manusia seluruh dunia, yang menyebabkan sekolah dan rumah ibadat ditutup, yang menyebabkan banyak syarikat gulung tikar dan mengubah macam-macam perkara di dunia ini tidak langsung mengubah situasi melibatkan durian.

Di Lembah Klang misalnya, harga buah durian musang king sekitar RM45 hingga RM65 sekilogram, udang merah RM38 sekilogram, IOI (RM35), D24 (RM30) dan durian kampung (RM18).

Durian ataupun namanya saintifiknya Durio zibethinus Murr sememangnya menjadi kegilaan terutamanya bagi mereka yang ‘hantu durian’.

Bahkan, Merak Jalanan lihat ada dalam kalangan orang ramai yang tidak lagi pedulikan penjarakkan sosial. Mereka tidak lagi takutkan virus berbahaya yang telah membunuh ratusan ribu orang di seluruh dunia.

Bau yang menusuk ke hidung dan tekstur warna durian yang memikat menyebabkan ramai yang berpusu-pusu merapatkan diri antara satu sama lain.

Walaupun penjual belum menurunkan buah dari kenderaan pikap atau lori, orang ramai sudah sedia menanti dengan poket-poket yang tebal. Hebat penangan durian.

Dan Merak Jalanan juga tewas dengan godaan tersebut, terbeli durian musang king 3 kilogram. Terpaksalah berjimat cermat selepas ini.

PRK Chini: PKR bertanding atau tidak?

in Analisis Sinar by

HANYA tiga minggu lagi penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Pekan, Pahang akan dibuka.

Namun, dapat dilihat banyak desakan daripada gabungan parti Perikatan Nasional (PN) yang menggesa Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon mereka bagi merebut kerusi N23 itu.

Gesaan itu dibuat bagi membolehkan calon daripada Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding, selain situasi negara sekarang sedang dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Mustapha Yaakub menggesa PH menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) melupakan hasrat bertanding kerana parti itu tidak mampu mencabar kekuatan Muafakat Nasional (MN) atau PN.

Ini kerana kerusi N23 adalah kubu kuat BN dan tambahan pula tiada mana-mana parti boleh menandingi kekuatan gabungan BN dan Pas.

Dari segi akar umbi Pas pula, dapat dilihat parti itu begitu konsisten dan menghormati calon daripada rakan gabungan MN dalam PRK Chini.

Perkara itu dimuktamadkan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar yang mengesahkan bahawa parti itu tidak akan meletakkan calonnya.

Jika senario itu terjadi, pasti PN yang mendapat manfaat daripada keadaan tersebut dan ia memberi kelebihan kepada calon BN untuk mengekalkan kemenangan di kawasan kubu kuat parti itu.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Abu Bakar yang mewakili BN memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405 undi) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnain (1,065 undi).

Persoalannya, adakah parti lawan mendengar desakan itu dengan memberi BN atau UMNO menang secara percuma?

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh sebelum ini menjelaskan PH tidak akan membenarkan BN mewakili PN menang secara percuma, sebaliknya akan terus mencabar.

Sungguhpun begitu, penganalisis politik daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Che Hamdan Che Mohd Razali menjangkakan PKR tidak akan bertanding merebut kerusi DUN Chini.

Menurutnya, peluang bagi PKR untuk menang amat tipis sekali berdasarkan keputusan lalu dan juga kayu ukur ketika PRK yang berlangsung di beberapa negeri selepas PRU-14.

“Situasi ini meletakkan mereka (PKR) berada dalam keadaan serba salah. Jika tidak bertanding, sudah tentu menimbulkan persepsi bahawa mereka sudah menyerah kalah dan memberikan satu pengiktirafan kepada kerajaan sekarang.

“Jika PKR bertanding dan kalah, ia pasti memberikan satu pukulan yang hebat dari segi moral PH.

“Jadi, pertimbangan sewajarnya perlu diambil PKR untuk mengira untung rugi penyertaan mereka dalam PRK ini,” katanya.

Menurutnya, memandangkan senario konflik politik semasa, Pas dari awal lagi menyerahkan kepada BN manakala parti Bersatu sudah tentu tidak mengetengahkan calon kerana mereka adalah sebahagian daripada gabungan PN.

Jelasnya, dilema pasti dihadapi PKR kerana hanya tinggal parti ini yang mempunyai kapasiti untuk bertanding di N23 selain calon bebas.

Che Hamdan bagaimanapun berkata, dalam konteks pemasaran politik, PRK begini menjadi medan dan peluang untuk mengetengahkan calon muda.

Apa-apa pun kita tunggu dan lihat pada hari penamaan calon pada 20 Jun ini.

* Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian edisi Pahang

1 2 3 404
Kembali UTAMA