Jangan main terjah hanya semata-mata nak ziarah raya

in Pojok by

MERAK Jalanan tidak begitu terkejut apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun depan.

Dalam perutusannya itu pada Ahad lalu, Perdana Menteri ada membawa sedikit khabar gembira menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Kata beliau, ziarah-menziarahi masih boleh diadakan tetapi dengan syarat tertentu.

Dengar saja berita itu, ada yang kembali ceria, ada juga masih ragu-ragu. Bagi Merak Jalanan, apabila kerajaan sudah ‘buka jalan’, jangan pula kita suka-suka hati ‘langgar’. Risau nanti, kita semua terpaksa menghadap semula PKP tanpa syarat!

Berbalik pada cerita ziarah raya. Bagi siapa yang ada niat nak ziarah ahli keluarga mahupun sanak saudara terdekat, ikut dan patuh betul-betul arahan serta pesanan kerajaan.

Bila kerajaan bagi ‘lampu hijau’ jangan pula ada yang melencong merentas negeri.

Kena ingat, kerajaan beri kebenaran ziarah dalam negeri yang sama dengan maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Paling penting, hanya hari pertama Aidilfitri dibenarkan.

Jangan dek kerana syok nak raya sakan, arahan kerajaan ditolak tepi. Seperkara lagi, jangan ada yang hanya pentingkan diri sendiri. Main terjah saja ‘rumah orang’ dengan alasan nak beraya.

Periksa dulu betul-betul rumah yang nak dikunjungi. Ada tak warga emas, orang sakit kronik atau anak kecil. Golongan ini mudah terdedah dan berisiko tinggi dijangkiti penyakit.

Tuan rumah juga perlu tegas. Jangan sebab nak jaga hati orang, si tuan rumah terima saja tetamu, tak kira pagi petang, siang malam. Cuma tak perlulah awal-awal lagi post di laman sosial – ‘Maaf kami tak terima tetamu raya tahun ini’.

Akhir sekali, ingat juga pesan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah: “Pastikan penjarakan (sosial), pastikan kita lindungi warga emas. Jadi tak ada salam-salam, cium-cium. Pastikan penjarakan satu meter.”