Krisis makin meruncing

in Awang Paku Serpih by

Awang tidaklah terperanjat sangat berita Tun mantan Perdana Menteri dipecat daripada parti yang diasaskannya. Mantan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dipecat bersama empat yang lain. Alasannya, mereka berlima duduk bersama-sama dalam blok pembangkang semasa Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Sebenarnya Awang pun tak terperanjat Tun berada di ibu pejabat Bersatu untuk dengar sendiri pengumuman pelucutan jawatannya oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung parti itu semalam. Terdapat juga khabar angin yang kuat ada menteri daripada Bersatu yang akan meletakkan jawatan.

Nampaknya krisis dalaman Bersatu semakin meruncing. Tun mantan Perdana Menteri bukan calang-calang orang. Kita tak tahu apa langkah beliau seterusnya. Awang percaya sokongan beliau masih kuat dalam Bersatu.

Susah juga Tan Sri Perdana Menteri nak tangani isu ini. Maklumlah majoriti sokongan pada beliau begitu tipis dalam Parlimen. Macam-macam boleh berlaku. Pada masa ini akibat pemecatan Tun mantan Perdana Menteri, banyaklah simpati orang kepada beliau. Orang yang bukan ahli Bersatu pun rasa tindakan itu melampau tapi Tan Sri Perdana Menteri tak ada pilihan nampaknya, kalau tak singkir, jadi duri dalam daging.

Bak kata orang tua-tua, ditelan mati mak, diluah mati bapak. Kita tunggulah adegan seterusnya dalam wayang politik negara kita.

Tembok China pun boleh bolos

Syabas pada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Keselamatan) yang berjanji ‘Op Benteng’ akan halang kemasukan semula pendatang asing tanpa izin (PATI). Tiap kerajaan buat janji seperti itu, daripada BN hingga PH dan sekarang PN. Kita semua tahu selalunya cakap tak pernah serupa bikin. Macam-macamlah alasan yang diberikan bagaimana PATI boleh bolos masuk ke negara kita.

Ada yang beri alasan laut perairan kita luas. Ada yang kata banyak lorong tikus. Ada yang kata tak cukup petugas di sempadan.

Awang rasa itu semua alasan. Kita kena ingat sejarah bagaimana PATI ini boleh bolos dengan banyaknya. Tentu ada orang di belakang sindiket bawa mereka masuk atau ada kebocoran dalam sistem kawalan kemasukan mereka.

Awang harap janganlah ‘Op Benteng’ ini hangat-hangat tahi ayam saja. Jadikanlah ia operasi berkekalan. Kawallah sempadan kita sebaik-baiknya. Jangan sampai kita tidak ada kawalan ke atas PATI hingga pasar, kampung dan tempat rakyat kita bekerja ditakluk oleh mereka.

Wabak Covid-19 sepatutnya digunakan untuk memperketatkan kawalan dan pemantauan. Memang sukar nak halang orang yang nak masuk. Tembok Besar negara China pun orang boleh bolos, inikan pula sempadan kita.

Kita perlukan petugas berdedikasi, amanah dan bertanggungjawab. Dan sikap politik yang betul. Yang ini yang sukar.