Mengundi dalam normal baharu

in PRK Dun Chini by

PEKAN – Seorang anggota polis teruja apabila menjadi individu pertama yang membuang undi dalam suasana normal baharu pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam.

Koperal Muhamad Muhaidin Haripen, 36, berkata, suasana mengundi awal kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini di mana kebiasaannya pengundi keluar mengundi secara beramai-ramai.

“Ini adalah pengalaman baru bagi saya. Mula-mula kita akan daftar mengundi di pintu masuk dan perhatikan garisan jarak sosial yang disediakan dan ikut arahan ditetapkan.

“Sampai ke ‘titik’ pertama kita perlu jalani saringan suhu badan dan gunakan cecair pembasmi kuman. Semasa masuk ke dalam pusat mengundi kena pakai lagi sekali cecair pembasmi kuman barulah pegawai SPR akan calitkan dakwat kekal dan pakaikan sarung tangan, penutup mulut dan hidung sebelum mengundi,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian di Bilik Maklumat Balai Polis Chini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berpuas hati dengan proses pengundian awal di Balai Polis Chini semalam.

Beliau berkata, seramai 17 daripada 18 anggota dari Balai Polis Chini dan Paloh Hinai menunaikan tanggungjawab mereka mengundi bermula jam 8 pagi semalam dan selesai sepenuhnya pada jam 11.20 pagi.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan proses pengundian awal yang dilaksanakan hari ini (semalam) mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dtetapkan termasuk pemeriksaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman dan penjarakkan sosial.

“Saya berharap hari pengundian yang dijadualkan pada 4 Julai ini dapat berlangsung dengan keadaan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini, Pekan.

Peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di Lokap Paloh Hinai dan akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada 4 Julai ini.