Bawa produk tenun ke peringkat antarabangsa

in PRK Dun Chini by

PEKAN – Membawa produk hasil tenun yang dihasilkan di Pusat Tenun Pahang Diraja Felda di sini merupakan salah satu hasrat calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini kelak.

Mohd Sharim berkata, produk tenun dihasilkan di situ berkualiti tinggi dan mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa, sekali gus boleh menjadi kebanggaan kepada anak tempatan terutama di Felda Chini.

“Kita perlu tonjolkan kerana Felda Chini ini mempunyai pelbagai produk istimewa hasil tangan anak tempatan.

“Terima kasih kepada Felda kerana beri peluang kepada anak tempatan bekerja di pusat itu sebagai penenun,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Pusat Tenun Pahang Diraja Felda di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat seramai 60 pekerja di pusat itu dan kesemuanya anak peneroka di Felda Chini.

“Mereka telah dilatih dan diberi peluang untuk bekerja dan ternyata produk tenun dihasilkan cukup berkualiti dan ada identiti tersendiri, ” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Tenun Pahang Diraja Felda, Affendi Jamaludin berkata, pusat tenun itu mula beroperasi tahun ini yang mulanya dinamakan Pusat Tenun Pahang Felda.

Katanya, pusat berkenaan dibuka bagi melatih anak tempatan sebagai usahawan tenun dan menjadi vendor bagi menampung permintaan tinggi terhadap produk tenun Pahang.

“Pusat ini kemudian dianugerahkan status diraja atas perkenaan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Antara produk tenun yang dihasilkan di sini termasuk kain pasang, kain samping, selendang dan songket yang dihasilkan menggunakan mesin dan tangan,” katanya.

Menurutnya, pusat itu mampu menghasilkan kira-kira 3,000 meter kain pelbagai jenis dalam setahun dan menerima permintaan daripada pelanggan seluruh negara.

“Kita mempunyai galeri di pusat berkenaan dan satu lagi di Menara Felda, Kuala Lumpur. Keistimewaan produk tenun ini ialah ia berkualiti tinggi, tahan, mudah dijahit dan rekaan corak serta motifnya memiliki identiti yang tersendiri,” katanya.