Mohd Shukri bimbang wang deposit hangus

in PRK Dun Chini by

PEKAN – Calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli menyuarakan kebimbangan akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh lapan peratus undi ekoran kurangnya pengundi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam.

“Rasa bimbang itu ada sebab, saya lihat warga emas lebih ramai berbanding golongan muda yang keluar mengundi.

“Kalau saya tidak peroleh undi lebih daripada 2,000 daripada pengundi di DUN Chini, wang deposit saya akan hangus,” katanya ketika Sinar Harian ditemui di Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan Felda Chini 2 di sini semalam.

Mohd Shukri berkata, sekiranya tewas dalam pertandingan tiga penjuru itu, perjuangannya akan tetap diteruskan dengan sebaiknya.

Jelasnya, beliau boleh menerima kekalahan dengan hati yang terbuka kerana itu sudah adat pertandingan.

“Saya akan tetap berjuang untuk selamatkan alam sekitar di Chini dengan cara saya sendiri,” katanya.