Apabila orang tak suka!

in Awang Paku Serpih by

AWANG tak pandai sangat bahasa Inggeris. Jadi, apabila Awang dapat video Datuk Speaker baharu yang buat macam-macam komen, Awang tengok dan dengar sahaja. Awang dah jangka video itu akan beredar selepas beliau jadi Speaker.

Maklumlah ada orang yang masih tak puas hati Tuk Azhar Azizan Harun gantikan tempat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof. Tentulah ada pihak yang edarkan siri video Tuk Azhar di bawah nama The Art of the Matter. Video itu memang Tuk Azhar rakam untuk jelaskan pandangan beliau tentang macam-macam hal semasa.

Ada yang kata, apakah Pas tahu siapa yang mereka sokong untuk jadi Speaker? Bukankah Tuk Azhar itu berbeza pendapat dengan Pas dalam hal Islam, isu LGBT, masalah hubungan kaum dan lain-lain?

Memang tak adil nak gunakan siri video Tuk Azhar yang dulu untuk tujuan itu. Awang rasa niat mereka yang buat tu memang tak jujur. Memang tak adil nak buktikan Tuk Azhar sebagai ‘liberal’ dan tak sokong gerakan Islam.

Pada pendapat Awang yang tak pandai ini, beliau sebetulnya berpandangan terbuka, tak jumud dan tak sempit macam sesetengah musuhnya atau pengikut Pas.

Awang harap Tuk Azhar jangan ambil pusing serangan ke atas beliau. Buatlah kerja dengan betul. Jalankan mesyuarat dengan adil. Jangan pulak buat macam dia proksi atau pegawai khas mana-mana orang atau pihak.