Kenapa tolak e-Voting?

in Awang Paku Serpih by

KADANG-kadang Awang rasa pelik dengan sikap orang politik, terutama wakil kita di Parlimen. Ada yang berfikir cara lama seolah-olah negara kita dalam era Jabatan Penerangan beri ceramah di kampung guna wayang gambar. Ada yang macam tak sedar dunia dah berubah dengan teknologi maklumat yang hebat.

Peliknya orang yang sama guna media sosial, ada akaun Facebook, Twitter dan Instagram. Mereka patut tahu sebahagian besar rakyat gunakan peralatan tercanggih masa ini. Apabila cakap pasal mengundi atas talian atau e-Voting, banyak yang bangkang.

Macam-macam hujah diberikan. Awang faham memang tak banyak negara di dunia yang guna cara itu untuk memilih kerajaan tapi pada pendapat Awang yang tak pandai teknologi ini, kita mesti bergerak ke arah itu.

Kalau kita boleh benarkan orang muda yang baru dapat lesen memandu untuk mengundi, Awang tak nampak sebab mengapa kita tak gunakan e-Voting pada Pilihan Raya Umum akan datang. Awang harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tuk Takiyuddin Hassan teruskan langkah untuk bincang dengan semua pihak dalam soal ini.

Memang tak mudah nak laksanakan e-Voting. Soal keselamatan teknologi patut difikirkan tapi dengan cara lama pun banyak orang tak puas hati.

Pendeknya dalam pilihan raya, tak ada siapa yang puas hati kalau kalah. Bagi Awang, yang penting kita kena ubah minda dan cara berfikir kita. Itu baru reformasi namanya!