Ustaz Jamal guna pengalaman 25 tahun

in Warna-warni Kehidupan by

KUALA TERENGGANU – Surau Annur di Alor Melintang, Kampung Baru Serada di sini yang berusia lebih 100 tahun dibina kembali dengan reka bentuk seni bina saling tidak tumpah seperti Masjid Wadi Al-Hussein iaitu masjid tertua di Narathiwat, Thailand.

Binaan baharu di atas tapak surau lama yang hampir 80 peratus siap itu diilhamkan oleh seorang seni bina pasak tradisi, Jamalias Ismail, 52, yang merupakan imam di surau tersebut.

Berbekalkan pengalaman selama 25 tahun dalam bidang pertukangan, Jamalias atau lebih mesra digelar Ustaz Jamal menganggap pembinaan semula Surau Annur adalah satu kejayaan besar sepanjang beliau berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Kita buat keputusan untuk bina sebuah rumah ibadat yang binaannya agak unik dan ada daya estetika sendiri.

“Pada zaman dahulu apabila orang tua-tua buat surau dan masjid, binaannya kukuh dan berkualiti kerana mereka sudah sinonim dengan anggapan bahawa binaan sesebuah surau atau masjid mestilah hebat.

“Jadi, kita buat sebaik mungkin menggunakan sedikit kebolehan dalam bidang ini. Binaan surau ini kita ambil reka bentuk satu binaan masjid yang hebat berusia 300 tahun iaitu Wadi Al-Hussein di Patani, Thailand.

“Walaupun tak boleh buat sepenuhnya seperti masjid tersebut, kita cuba implementasikan seni binaan masjid itu pada surau ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Idea

Jamalias berkata, idea asal untuk membina semula surau di kampung berkenaan timbul setelah surau lama semakin usang dan tidak lagi mampu menampung jemaah yang datang untuk menunaikan solat.

“Sebelum ini kita baiki sedikit demi sedikit bahagian yang rosak. Lama-kelamaan ada banyak pula bahagian yang perlu dibaiki, ditambah pula dengan dengan kehadiran binatang seperti biawak yang membuat sarang di surau ini.

“Saya ambil keputusan setelah bermesyuarat bersama jemaah surau untuk mendirikan sebuah surau baharu di tapak surau yang binaannya lebih kukuh dan berkualiti menggunakan 70 peratus bahan binaan daripada kayu dan 50 peratus simen,” katanya.

Menurutnya, Surau Annur yang bakal tersergam indah di kampung berkenaan mampu memuatkan kira-kira 200 jemaah berbanding 50 jemaah sebelum ini dibina menggunakan dua jenis kayu iaitu merbau dan tengkawang sebagai asas utama binaan.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa bahagian yang menjadikan surau berkenaan begitu istimewa iaitu beberapa ukiran siku keluang dengan motif langkasuka, stupa atau buah buton bermotifkan bunga serta ukiran khat khufi pada pintu utama surau yang memberikan nilai tambah, sekali gus menyempurnakan lagi binaan tersebut.

Ditanya kos binaan surau berkenaan, Jamalias berkata, setakat ini kira-kira RM400,000 telah dibelanjakan hasil sumbangan orang ramai termasuk jemaah surau berkenaan sejak ia dibina pada 1 Julai 2019.