Ibu dan empat anak mati gara-gara monyet

in Pilihan Editor by

NEW DELHI – Seorang ibu dan empat orang anaknya meninggal dunia selepas dinding runtuh akibat perbuatan sekumpulan monyet di rumah mereka di India pada Jumaat lalu.

Lima mangsa itu terkorban setelah bata terjatuh akibat dinding digoyangkan kuat oleh sejumlah monyet.

Kejadian itu berlaku ketika keluarga itu sedang tidur di luar bilik rumah mereka, lapor akhbar Times of India.

Keluarga itu tidur di luar bilik rumah kerana kipas siling di dalam kediaman mereka tidak berfungsi di Shahjahanpur, Uttar Pradesh.

Dua lagi kanak-kanak terselamat dalam kejadian itu. Pihak berkuasa yang menganggap kejadian itu sebagai tragik berjanji untuk membayar ganti rugi kepada keluarga tersebut.

Majistret daerah, Vikram Singh melawat mereka yang terselamat dan berkata, manga-mangsa akan mendapat rawatan terbaik.

“Ia merupakan satu insiden yang tragik dan lima anggota sebuah keluarga terkorban dengan cepat selepas dinding jatuh ke arah mereka,” katanya selepas memeriksa tempat kejadian.

Ketua Menteri Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk menawarkan 40,000 rupee (RM2,272.65) sebagai pampasan, kata majistret itu.

India dianggarkan mempunyai kira-kira 50 juta hidupan primat. – Agensi