Tak wajib pakai pelitup muka

in Awang Paku Serpih by

BANYAKLAH orang yang bagi komen negatif apabila kerajaan kata pelajar tak payah pakai pelitup muka ketika berada di sekolah. Ada yang kata langkah itu berbahaya oleh sebab ancaman Covid-19 masih berleluasa.

Menteri Kanan (Pertahanan) buat kenyataan pelitup muka tak diwajibkan di sekolah dalam taklimat hariannya minggu lepas.

Bagaimanapun, pihak sekolah perlu mewajibkan pelitup muka sekiranya mana-mana warga sekolah, baik guru atau pelajar, menunjukkan ada gejala penyakit itu.

Awang sokong langkah kerajaan itu. Menyediakan pelitup muka untuk 5.7 juta pelajar di 10,000 sekolah di seluruh negara bukan mudah.

Di pasaran terbuka satu pelitup muka dijual pada harga RM1.50. Pakai pun sehari sahaja. Untuk sehari, harga pelitup muka yang diperlukan untuk pelajar sahaja sebanyak RM8.55 juta. Untuk lima hari persekolahan dalam seminggu, jadi RM42.75 juta.

Awang tak faham kenapa harga pelitup muka begitu mahal. Awang kesal kerajaan tak kawal harga jualannya.

Awang rasa daripada bazirkan duit untuk belikan pelitup muka, eloklah pihak sekolah mengetatkan SOP dan kawalan.

Awang rasa oleh sebab warga sekolah hanya bergaul sesama sendiri dan tak melibatkan orang luar, risiko jangkitan dapat dikurangkan.