Rabbani naskhah istimewa sempena Maal Hijrah

in Hiburan by

SHAH ALAM – Bersempena sambutan Maal Hijrah kali ini, stesen TV Alhijrah tampil dengan sebuah naskhah yang sarat dengan pelbagai mesej menerusi filem pendek bertajuk Rabbani.

Pengurus Pembangunan Kandungan dan Perolehannya, Nurjannah Mohd Salleh berkata, filem pendek yang menelan belanja lebih RM25,000 itu dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan TV Alhijrah dengan mengangkat tema ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’.

Beliau berkata, idea asal tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris sekiranya dapat menghasilkan video berkaitan sambutan Maal Hijrah pada tahun ini.

“Jadi idea itu dibawa balik dan setelah melalui beberapa perbincangan di peringkat TV Alhijrah sendiri, kita bersetuju untuk membesarkan karya itu menjadi sebuah filem pendek yang berjaya dihasilkan dalam tempoh kurang seminggu.

“Jalan cerita, arahan, pelakon serta keseluruhan filem ini dilakukan sendiri oleh kakitangan TV Alhijrah dan alhamdulillah ia berjaya digarap dengan baik. Ia akan disiarkan bermula hari ini selama sebulan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, mesej penting yang cuba diketengahkan pihaknya kepada masyarakat adalah kisah Rabbani itu sendiri yang sentiasa berbuat baik dan bersedekah kepada orang sekeliling tanpa mengira bangsa sehinggalah dia diuji ALLAH menyebabkannya hilang pekerjaan.

“Segala kebaikan yang dilakukan sebelum ini, dilihat ‘kembali’ semula kepadanya apabila ramai yang tampil menghulurkan bantuan ketika dia dalam kesusahan.

“Naskhah ini bukan yang terakhir kerana sebelum ini kita juga sudah hasilkan filem pendek sempena Hari Raya Aidiladha bertajuk ‘Tabung Abah’ dan selepas ini banyak lagi yang karya-karya akan dihasilkan TV Alhijrah menerusi format sebegini,” katanya.