Jumlah anggota, aset terhad cabaran jaga sempadan negara

in Wacana by

SHAH ALAM – Kekurangan anggota penguat kuasa dan aset pertahanan yang terhad menjadi cabaran besar buat Pasukan Polis Marin (PPM) bagi memastikan sempadan perairan negara tidak mudah dibolosi.

Komander Pasukan Polis Marin, Senior Asisten Komisioner, Mohd Yusoff Mamat berkata, 200 bot peronda yang dimiliki PPM hanya mampu ditempatkan di setiap 100 batu (nautika) bagi menjaga lebih 6,000 kilometer pantai di negara ini.

Malah menurutnya, sekiranya semua aset dan keanggotaan agensi lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) digabungkan, ia masih tidak mencukupi.

“Tidak seperti Singapura contohnya yang letak bot mereka di setiap kilometer. Bukan setakat bot, dengan rada dan sebagainya.

“Di Malaysia, rada yang ada yang dikendali oleh agensi tidak menyeluruh untuk seluruh perairan negara kita. inilah masalah utama. Aset tak cukup dan lama dan begitu juga kelengkapan lain.

“Sempadan amat luas, keanggotaan juga tak cukup berbanding penduduk Malaysia. Teknologi digunakan penjenayah bersindiket lebih canggih,” katanya pada Wacana Siri-188 bertajuk Sempadan Bolos: Antara Penguatkuasaan dan Kesan Ekonomi di Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma dan Pengarah Komunikasi Korporat Japan Tobacco International (JTI), Azrani Rustam manakala Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, mengambil kira cabaran yang terpaksa dihadapi oleh anggota keselamatan, masyarakat perlu mengambil peranan untuk tidak meletakkan tanggungjawab itu atas bahu anggota penguatkuasa semata-mata.

Menurutnya, masyarakat perlu sedar tentang kesan kepada ekonomi negara jika terus mewujudkan permintaan dalam pasaran membabitkan barangan yang diseludup.

“Isu penyeludupan sebenarnya banyak dari segi dadah, rokok, kawalan, ketirisan hasil hutan dan sebagainya. Jadi kalau kita melihat isu penyeludupan seperti rokok, tak boleh salah penguat kuasa sahaja.

“Sebab ada permintaan dan pembekal. Kalau tak ada orang yang nak terima, mana mungkin penawaran itu ada. Jadi dari situ berlaku… bukan hanya penguat kuasa nak dipersalahkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, usaha mengawal sempadan negara daripada dibolosi terus dikuatkuasakan termasuk dalam konteks kerjasama dengan negara sempadan.

“Kita sentiasa ada hubungan dengan negara jiran. Kita ada perjanjian persefahaman dengan polis air Indonesia. Malah sebelum wabak koronavirus (Covid-19), kita sentiasa ada mesyuarat di tengah laut secara berkala.

“Begitu juga bersama Polis Merin Thailand, Filipina dan Singapura di mana kita akan berkongsi maklumat,” katanya.