Isu seluar pendek: Ini penjelasan SPR…

in PRK Dun Slim by

TANJUNG MALIM – Insiden terdapat beberapa pengundi tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian kerana berseluar pendek pagi tadi disebabkan salah faham.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, dari segi peraturannya, memakai seluar pendek bukanlah satu kesalahan sehingga perlu dihalang daripada memasuki kawasan pusat pengundian.

“Kalau ikutkan kepada peraturan kita, perkara itu bukan masalah, seluar pendek masih lagi dibenarkan melainkan individu itu berpakaian lambang parti atau mencolok mata, itu yang patut dihalang.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara seluar pendek!

“Jadi mungkin ada sedikit salah faham kerana pemahaman daripada aspek pelaksanaan peraturan itu, mungkin berbeza menyebabkan berlakunya salah faham terbabit,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kejadian itu hari ini.

Menurutnya, pengundi yang terlibat diminta tidak berkecil hati dan dapat meneruskan tanggungjawab sebagai pemilih.

“Harap pengundi yang balik itu dapat datang semula mengundi, jangan merajuk la ya,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Aminuddin Baki hari ini kecoh seketika.

Ia susulan tindakan beberapa pengundi warga emas yang berang selepas tidak dibenarkan masuk mengundi kerana memakai seluar pendek.