Kemenangan calon BN bukti rakyat yakin dasar PN: Muhyiddin

in PRK Dun Slim by

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam membuktikan keyakinan rakyat pada parti itu serta dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata, kemenangan itu juga jelas membuktikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) mampu mewujudkan kesepakatan yang jitu untuk meraih sokongan padu pengundi.

“Saya berharap YB Zaidi akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dengan cemerlang,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Zaidi dan jentera yang terlibat dalam membantu kemenangan calon itu.

Mohd Zaidi mengekalkan kerusi DUN Slim selepas menang dengan majoriti besar 10,945 apabila memperoleh 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran yang memperoleh 276 undi. – Bernama