Pejuang akan terus yakinkan rakyat: Mukhriz

in PRK Dun Slim by

TANJUNG MALIM – Kekalahan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam menjadi pemangkin kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk bekerja lebih keras bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berdasarkan keputusan itu, pihaknya mengenal pasti beberapa corak pengundian dan mengambilnya sebagai cabaran untuk terus meyakinkan rakyat.

“Kita lihat dalam keputusan PRK, walaupun itu bukan sasaran sebenar tetapi sekurang-kurangnya calon kita tidak hilang deposit seperti yang diramalkan pihak-pihak tertentu.

“Yang kita lihat agak menarik, dianggarkan 1/3 pengundi tidak keluar mengundi manakala, 35 peratus pengundi muda tidak turun kali ini,” katanya di Bilik Gerakan Utama Pejuang di Slim River di sini semalam.

Menurutnya, kebiasaan dalam PRK pengundi Melayu akan mengekalkan calon kerajaan berikutan peruntukan akan terus disalurkan.

“Dalam PRU keadaan ini mungkin berubah. Kami menerima baik keputusan ini dan pada masa sama kami lebih bersedia hadapi PRU akan datang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pejuang berlapang dada kalah PRK DUN Slim

Katanya, Pejuang akan terus bergerak dalam meyakinkan rakyat agar terus menyokong menjelang PRU15.

“Terletak di atas bahu kami tanggungjawab baru iaitu untuk meyakinkan rakyat menjelang PRU15 untuk terus menyokong kami dengan apa bentuk sekalipun.

“Kita akan cuba berusaha sedaya mungkin meyakinkan mereka bahawa pihak kami berhak menerima kepercayaan mereka pada PRU nanti,” katanya.