PRK DUN Slim Referendum rakyat tolak PH

in PRK Dun Slim by

SHAH ALAM – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim adalah isyarat jelas bahawa rakyat memberikan mandat yang padu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal mentadbir negara.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kemenangan itu juga merupakan penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) supaya tidak kembali menjadi pemerintah.

“Rakyat tidak lagi termakan dengan harapan dan janji palsu PH. PRK DUN Slim adalah satu referendum rakyat menolak Pakatan Harapan.

“Ia memberikan isyarat jelas bahawa persefahaman dan kerjasama Muafakat Nasional semakin teguh antara UMNO dan Pas seterusnya PN, BN dan Gagasan Sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menyifatkan jurang majoriti terhadap jumlah undian calon bagi Muafakat Nasional dalam PRK itu juga meningkat sehingga berkali ganda berbanding dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain itu katanya, pengundi Pas menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi melalui Muafakat Nasional untuk mengundi BN, hingga keseluruhan undi mereka pada PRU14 diberikan kepada BN.

“Orang Cina dan India (pula) sudah beralih arah daripada PH dan mengundi BN setelah melihat kegagalan PH memerintah negara selama 22 bulan.

“Anak muda tidak lagi termakan dengan janji-janji manis pemuda PH yang dicanang sebelum ini. Jelas, anak muda muak dengan janji peluang pekerjaan yang menjadi harapan palsu,” katanya.

Malam tadi, BN menerusi calonnya, Mohd Zaidi Aziz mengekalkan kerusi DUN Slim, selepas diumum menang dengan majoriti bergaya dalam PRK DUN Slim kali ini.

Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran, yang memperoleh sebanyak 276 undi.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu memperoleh majoriti 10,945 undi berikutan 68.4 peratus keluar mengundi daripada 23,094 pengundi keseluruhan, dengan 327 kertas undi pula ditolak.

Keputusan penuh PRK DUN Slim itu diumumkan Pegawai Pengurus pilihan raya, Shamsul Ridzuan Idris di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim malam tadi.

Turut mengiringi kemenangan calon BN malam ini ialah pemimpin utama parti termasuk dari daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

ARTIKEL BERKAITAN: BN kekal berkuasa di DUN Slim

Kemenangan ubati kerinduan rakyat kepada BN

Menang besar di Slim restu rakyat kepada kerajaan PN