Covid-19: Surau Haji Nasron tangguh solat fardu berjemaah

in Edisi by

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pihak Jawatankuasa Surau Haji Nasron, Meru, Klang untuk mengambil tindakan serta- merta menangguhkan sementara semua aktiviti pengimarahan dan pelaksanaan solat fardu lima waktu berjemaah bermula hari ini.

Arahan itu dikeluarkan susulan terdapat ahli jemaah Surau Haji Nasron, Jalan Cempaka, Meru yang mempunyai kontak rapat dengan individu telah disahkan positif Covid-19 yang baru pulang dari mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Semporna.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hanya tiga orang petugas jawatankuasa dibenarkan untuk memimpin solat fardu di surau berkenaan.

“Jawatankuasa surau hendaklah memastikan individu berkenaan menjalankan saringan ujian Covid-19 dan melaporkan keputusan saringan kepada jabatan ini.

“Proses sanitasi (nyahkuman) hendaklah dilakukan serta merta di seluruh kawasan surau,” katanya menerusi notis yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, jawatankuasa surau diarah untuk sentiasa memantau rapat perkara ini.

“Jawatankuasa surau diarah mengingatkan para jemaah dan ahli kariah untuk meningkatkan langkah-langkah pencegahan yang dianjurkan oleh pihak jabatan.

“Surau berkenaan hanya boleh dibenarkan beroperasi semula setelah dibenarkan oleh jabatan ini,” katanya.