‘Pulanglah Apak, sudah lama abang mencari kau’

in Edisi by

JEMPOL – “Jika kau masih hidup dan terbaca berita ini, baliklah…kami semua masih sayang dan merindu kau,” kata Ramli Musa, 56, yang mencari adik kandungnya, Mohd Hanizam, 46, selepas terpisah sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, sejak adiknya yang mesra dipanggil Apak merantau ke Langkawi pada tahun 2014, mereka tidak lagi pernah berjumpa melainkan berhubung menerusi telefon kali terakhir pada tahun 2015.

“Pulanglah Apak, sudah lama abang mencari kau tapi sehingga kini masih belum ada rezeki kita berjumpa.

“Saya risau akan keadaan dia kerana beberapa minggu sebelum ini saya asyik bermimpi dia datang kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kata Ramli, lebih menguatkan hatinya untuk mencari adiknya kerana mimpi sama turut dialami isterinya.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya menerusi telefon menjelang hari raya Aidilfitri 2015 sebelum terputus hubungan.

“Malah pada Februari lalu, sepupu yang ke Langkawi turut mencarinya di pejabatnya, namun gagal berikutan pejabat berkenaan sudah bertukar milik,” katanya.

Katanya, dia tidak pasti punca adiknya itu menghilangkan diri memandangkan sebelum ini mereka sangat akrab.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd Hanizam diminta menghubunginya di talian 011-39817207,” katanya.