Tugas guru bukan hanya mengajar

in Wacana by

SHAH ALAM – Persepsi bahawa tugas guru hanya masuk ke kelas dan mengajar pelajar adalah pandangan separuh benar.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan berkata, sebaliknya profesion guru sama seperti kerja lain yang mempunyai tanggungjawab tersendiri.

Menurutnya, apabila pelajar memasuki kawasan sekolah, guru berperanan untuk menjaga keselamatan dan keselesaan pelajar untuk mendapatkan pendidikan.

“Guru perlu pantau pergerakan semua pelajar. Memang jumlah guru ramai tetapi jika dibandingkan dengan jumlah pelajar di dalam sekolah, ia jauh bezanya

“Setakat ini tiada aduan daripada guru berhubung tugas menjaga pelajar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Yang menjadi isu adalah pelaporan, apabila orang kenamaan datang perlu buat pelaporan, pegawai datang pun kena buat pelaporan sama. Itu yang mengganggu tugas guru dalam mendidik dan menjaga keselamatan pelajar,” katanya yang menjadi panelis pada program Wacana Sinar Harian Siri 198 yang bertajuk ‘Betul ke cikgu tak ada kerja?’ di Dewan Kumpulan Karangkraf di sini malam kelmarin.

Selain beliau, turut diundang menjadi panelis ialah Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya, Datuk Seri Dr Suhaime Saad dan guru subjek Biologi dan Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist, Sentul, Stephen Isaac, manakala Herleena Parlavy sebagai moderator.

Harry berkata, yang menjadi polemik dan pertikaian sesetengah pihak adalah waktu kerja guru.

“Pada pandangan masyarakat, mereka fikir tugas guru adalah menjadi penjaga anak-anak mereka. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mengapa kita mengalah kepada desakan supaya prasekolah dibuka lebih awal berbanding murid Tahun Enam?

“Kita mengalah kepada desakan-desakan ibu bapa yang mahu guru-guru menjadi penjaga anak-anak mereka,” katanya.

Jelasnya, sekiranya masih ada guru yang berada di sekolah selepas tamat waktu persekolahan bagi menyelesaikan tugas, mereka akan membantu memerhatikan pelajar sementara menunggu ibu bapa datang menjemput.

“Bidang kuasa guru hanya di dalam sekolah dan bukan di luar sekolah.

“Guru juga tidak boleh masuk lambat ke sekolah walaupun bekerja lebih masa pada hari sebelumnya. Ia tentang masa bekerja sama seperti yang diperuntukkan,” katanya.