Rakyat, kerajaan perlu bekerjasama pacu ekonomi terjejas

in Edisi by

KOTA KINABALU – Rakyat dan kerajaan Sabah perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memacu ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19), kata Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan usaha yang dilaksanakan berkesan selain kebajikan rakyat dapat dijaga dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa pandemik tersebut.

“Saya menyambut baik usaha dilaksana kerajaan dalam menangani Covid-19 dan langkah diambil bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat Negeri Sabah di Istana Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Toh Puan Norlidah R.M. Jasni dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan isteri Datin Juliah Salag serta ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri — Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Pada majlis itu, Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah yang dianugerahi Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima mendahului senarai 17 penerima anugerah hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri juga menyeru semua pihak agar memanfaatkan teknologi, khususnya platform dalam talian bagi kelangsungan ekonomi rakyat, mengambil kira keterbatasan pergerakan akibat penularan Covid-19.

Juhar juga mahu rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard bagi mengekang penularan pandemik itu.

“Kita semua tiada pilihan untuk meneruskan kehidupan dalam norma baharu, justeru kita perlu memiliki jiwa yang kental bagi terus berusaha gigih dan tidak mudah mengalah terutama ketika menghadapi ancaman serta cabaran,” katanya.

Juhar turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dan melahirkan keyakinan pemimpin Bersatu Sabah itu akan dapat menghadapi pelbagai cabaran bagi memajukan negeri. – Bernama