Rumah Putih wajibkan kakitangan pakai pelitup muka

in Global by

WASHINGTON – Majlis Keselamatan Negara (NSC) semalam mengarahkan kesemua kakitangan di Rumah Putih memakai pelitup muka di kawasan umum dan mengelakkan ‘lawatan tidak perlu’ di Sayap Barat.

Arahan itu dikeluarkan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang selama ini memandang rendah ancaman koronavirus (Covid-19) didiagnos positif virus tersebut dan kini dirawat di sebuah hospital tentera di luar Washington.

“Berkuat kuasa 2 Oktober 2020, kesemua kakitangan NSC yang melaporkan diri ke Pejabat Eksekutif Presiden diwajibkan memakai pelitup muka di kesemua kawasan umum termasuk kemudahan pemeriksaan keselamatan, lif, laluan di dalam Rumah Putih dan tandas.

“Pemakaian pelitup muka adalah wajib di lokasi panduan jarak sosial tidak boleh dipatuhi secara konsisten termasuk ruang kerja peribadi dan bilik persidangan,” jelas kandungan e-mel tersebut.

Difahamkan, NSC yang ditugaskan untuk menyelaraskan dasar asing antara agensi kerajaan merupakan kakitangan terbesar di kompleks terbabit.

Sebelum ini, penggunaan pelitup muka di kediaman rasmi presiden tersebut tidak diwajibkan berikutan Trump sering mempertikaikan langkah itu walaupun pakar perubatan percaya ia dapat membendung penularan wabak tersebut.

Pada akhir Julai lalu, Penasihat Keselamatan Negara, Robert O’Brien yang mengetuai agensi itu disahkan positif Covid-19 sebelum kembali semula bertugas selepas pulih daripada jangkitan virus tersebut. – Agensi