122 sekolah di Sabah ditutup

in Khas by

SHAH ALAM – Sebanyak 122 buah sekolah harian yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan ditutup esok, sehari lebih awal untuk melaksanakan PKPB di kawasan terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman pelaksanaan PKPB berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam 7 Oktober ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri dan penutupan melibatkan 86 buah sekolah rendah, 25 buah sekolah menengah serta 11 buah sekolah swasta.

“Bagaimanapun sekolah di luar kawasan PKPB akan beroperasi seperti biasa sebagaimana dijelaskan di dalam kenyataan media KPM yang telah dikeluarkan pada 3 Oktober 2020 yang lalu.

“KPM menyedari kekhuatiran ibu bapa dan warga sekolah berkaitan keadaan semasa penularan wabak Covid-19.

“Dalam hal ini KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melakukan yang terbaik bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga sekolah adalah terpelihara,” katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan sebanyak 122 sekolah harian terdiri daripada 86 sekolah rendah, 25 sekolah menengah dan 11 sekolah swasta di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah akan ditutup mulai esok.