‘Batal sidang akhbar sebab tak mahu bahayakan media’

in Khas by

SHAH ALAM – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan terpaksa membatalkan sidang akhbar harian berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini kerana enggan mendedahkan media kepada bahaya jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, keputusan itu diambil sebaik beliau dimaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif Covid-19.

“Sebenarnya pagi tadi saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk membincangkan tindakan seterusnya untuk mengawal penularan Covid-19 seperti memperkenalkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) zon Kota Kinabalu termasuk Penampang dan Putatan.

“Selepas habis mesyuarat, saya dimaklumkan Menteri Hal Ehwal Agama (Zulkifli) didapati positif Covid-19 dan saya juga berada dalam mesyuarat yang dihadiri beliau pada Sabtu lalu.

“Oleh itu saya membuat keputusan segera untuk membuat ujian swab dan balik ke rumah untuk ‘self-quarantine’,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Tambahnya, beliau juga membatalkan sidang akhbar yang sepatutnya berlangsung hari ini kerana khuatir ia boleh membahayakan para media.

“Insya ALLAH esok keputusan ujian swab saya akan keluar, doakan agar keputusan itu nanti negatif,” katanya sebagai penjelasan kepada semua pihak yang mempersoalkan tindakannya membatalkan sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Zulkifli membuat pengesahan dirinya positif Covid-19 menerusi Facebooknya hari ini dan memaklumkan kini sedang menjalani rawatan.

Menerusi hantaran sama, beliau turut meminta orang ramai yang menyertai majlis yang dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober untuk menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera, selain turut mendoakan agar ALLAH menyembuhkan dan menyelamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19