Tumpahan minyak dikesan sekitar SK Kampung Gelam

in Edisi by

PORT DICKSON – Tumpahan minyak mentah dikesan di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam di sini petang semalam.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, tumpahan minyak itu ditemui oleh orang awam lebih kurang jam 2 petang.

“Sebagai langkah awal, ‘oil boom’ telah dipasang di beberapa lokasi untuk mengawal pencemaran minyak dari mengalir hingga ke laut.

“Kerja-kerja mengesan lokasi utama pencemaran masih diteruskan dengan dibantu beberapa agensi bertanggungjawab termasuk syarikat-syarikat berkaitan hasil minyak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Verapan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah mengambil sampel minyak di lokasi dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu berhubung Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi yang terpaksa dihenti tugas malam tadi dipercayai berpunca daripada pencemaran di Sungai Batang Benar di sini, beliau berkata, pihak berkaitan masih menyiasat perkara itu.

“Kami masih menunggu laporan penuh daripada JAS dan Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA N9),” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan Twitter rasminya memaklumkan punca pencemaran tersebut adalah sejauh 30 kilometer dari LRA Sungai Semenyih.

“Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk bersama menyelesaikan isu ini,” katanya.