UCSI catat penurunan jumlah pelajar antarabangsa

in Khas by

KUALA LUMPUR – UCSI antara universiti swasta yang terjejas berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia.

Kumpulan Hal Ehwal Korporat, UCSI Group dalam satu kenyataannya berkata, UCSI turut mencatatkan penurunan jumlah pelajar antarabangsa namun tidak ketara.

“Setakat ini UCSI University mempunyai lebih 10,000 pelajar aktif dan seramai 7,000 daripadanya merupakan pelajar tempatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, UCSI membuat pelaburan RM8.2 juta untuk menyediakan pelbagai peralatan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan alat-alat pandang dengar bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terganggu susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Penambahbaikan ini penting bagi mengukuhkan sistem pengajaran dan pembelajaran di mana bermula September lalu, universiti ini melaksanakan sepenuhnya sesi pembelajaran secara dwi mod. Pelajar boleh mengikuti kuliah sama ada secara fizikal di kampus atau secara dalam talian,” katanya.

Katanya, secara tidak langsung, kaedah itu membolehkan pelajar mengikuti kelas tanpa keperluan merentas negeri atau negara.

“Kami juga tidak melaksanakan pendaftaran pelajar pada Oktober ini susulan kerana sudah dilakukan pada bulan lalu,” katanya.

Tambahnya, UCSI menjadi pilihan susulan pelbagai inisiatif yang disediakan bagi memudahkan pelajar mengikuti kelas walau di mana mereka berada.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua kemasukan baharu pelajar asing, pelajar sedia ada dan termasuk yang sudah mendapat kelulusan daripada Jabaran Imigresen Malaysia sebelum ini ditangguhkan sehingga 31 Disember 2020.