FAM sudah jangka tindakan Felda

in Berita by

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak terkejut dengan keputusan Felda United untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim depan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pengumuman yang dibuat pengurusan Felda United itu semalam membolehkan pihaknya memikirkan perancangan alternatif seterusnya.

“Saya tidak terkejut dengan berita tersebut kerana sudah dapat dijangka. Saya rasa ia pendekatan positif yang diambil Felda United untuk menjelaskan isu ini lebih awal sebelum terlambat. Jika perkara ini keluar bulan 12 (Disember) nanti atau sebelum liga bermula, ia mungkin akan memberikan lebih banyak masalah.

“Tetapi sedih juga sebab Felda ini ada sejarah yang lama. Saya harap mereka tidak terus hilang dalam perkembangan bola sepak negara kerana penglibatan mereka masih sangat diperlukan.

“Bagaimanapun, kami memerlukan maklumat rasmi daripada Felda untuk kami mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam pada itu, Stuart memaklumkan bahawa kesemua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga-M telah lulus proses penswastaan selepas tarikh akhir 30 September lalu.

Bagaimanapun, FAM meminta penjelasan daripada UKM FC selepas pasukan itu meletakkan nama jurulatihnya, Sulaiman Hussin sebagai pemilik kelab dalam dokumen yang dihantar kepada badan induk itu.

“Kami memberikan tempoh dua minggu kepada UKM FC untuk menjelaskan kenapa meletakkan nama jurulatih UKM FC sebagai pemilik pasukan kerana kita tidak mahu timbul sebarang masalah di kemudian hari.

“Untuk pasukan lain, saya ucapkan tahniah kerana berjaya menyelesaikan proses penswastaan mengikut masa yang telah ditetapkan,” jelasnya.