Maryam diminta buat saringan Covid-19

in Khas by

SEREMBAN – Peserta termuda Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan 1442/2020, Maryam Solehah Noor Hisham, 8, yang mempunyai kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut diminta menjalani saringan koronavirus (Covid-19).

Gambar kanak-kanak berkenaan yang tanpa memakai pelitup muka dan kelihatan sedang berbual dengan Zulkifli tular di aplikasi WhatsApp selepas menteri berkenaan disahkan positif Covid-19.

Bapanya, Noor Hisham Mustapa berkata, beliau telah dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Seremban semalam dan diminta membawa Maryam ke Klinik Kesihatan Senawang untuk membuat saringan.

“Saya dan isteri sudah bersedia sebenarnya bila kami tengok di Facebook Jabatan Kemajuan Islam(Jakim) ada gambar Maryam bercakap dengan Datuk Zulkifli.

“Petang semalam lebih kurang jam 3.45 petang, saya dihubungi Pejabat Kesihatan minta bawa Maryam buat saringan dan kami akur dengan arahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Noor Hisham yang tinggal di Taman Marida di sini berkata, sehingga kini keadaan kesihatan Maryam baik sahaja dan tidak menunjukkan sebarang simptom.

Bagaimanapun katanya, sebagai langkah keselamatan beliau sekeluarga mengambil pendekatan untuk kuarantin diri di rumah sehinggalah keputusan saringan Maryam diperoleh.

“Saya tunggulah arahan seterusnya. Buat masa ini saya dan isteri diberi kebenaran oleh pentadbiran sekolah untuk bekerja dari rumah.

“Anak-anak pun saya tidak hantar ke sekolah termasuk Maryam melainkan anak sulung saya yang kini berada di asrama,” katanya.