Penantian 30 tahun miliki rumah sendiri berakhir

in Edisi by

JOHOR BAHRU – Penantian selama 30 tahun Ahmad Fuad Ismail, 55, untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila permohonan mendapatkan Rumah Mampu Biaya (RMBJ) B di Taman Perbadanan Islam (TPI) Stulang Baru di sini hari ini berjaya.

Ahmad Fuad bersyukur kerana hasratnya menjadi kenyataan kerana sebelum ini dia tinggal bersama adik beradiknya di rumah pusaka arwah ibu bapanya.

“Saya mahu menyerahkan rumah pusaka itu untuk didiami adik,” katanya ditemui selepas Majlis Pengundian Terbuka RMBJ C, Penyampaian Sijil Layak Memiliki RMBJ B dan Penyampaian Sijil Layak Penyewa Inkubator TPI Stulang Baru yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil dan Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn Bhd, Datuk Ramlee A Rahman.

Sebanyak 2,626 permohonan diterima bagi TPI Stulang Baru dan hanya 378 permohonan yang layak serta melepasi syarat kelayakan manakala 2,248 permohonan gagal memenuhi syarat.

Sementara itu, Hasni dalam ucapannya berkata, di samping membangunkan kediaman mampu biaya, PIJ Holdings tidak meminggirkan usahawan kecil terutama golongan muda kerana turut membangunkan pusat inkubator di setiap TPI bagi memberi memberi ruang untuk aktiviti perniagaan.

Katanya, pusat inkubator iaitu Kompleks Pejabat dan Pusat Perniagaan PIJ Holdings contohnya di Stulang Baru menempatkan 43 unit lot ruang pejabat dan perniagaan dengan kadar sewa yang berpatutan.

“Kita (Kerajaan Johor) menyedari jumlah tersebut 43 unit tidak mampu untuk menampung keperluan usahawan di Johor Bahru. Justeru, ruang perniagaan yang disewakan diberikan tempoh tertentu.

“Kita berharap usahawan yang menyewa ruang perniagaan sedia ada dapat mengembangkan perniagaan dan memberi peluang kepada usahawan baharu,” katanya.