Penyeludup ‘hidupkan’ semula pangkalan haram lama

in Edisi by

RANTAU PANJANG – Pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang yang sebelum ini ‘mati’ dikesan kembali aktif dengan kegiatan penyeludupan.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, sebelum Op Benteng Covid-19 dilaksanakan terdapat 88 pangkalan haram yang aktif di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang.

“Namun, hasil maklumat risikan ia meningkat kepada 128 buah pangkalan haram di sepanjang kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.

Menurutnya, penyeludup mengaktifkan semula pangkalan lama selepas kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan telah diperketatkan oleh PGA dengan pemasangan kawat berduri.

Katanya, kesemua pangkalan haram lama yang tidak digunakan itu, diwujudkan dengan beberapa laluan baharu bagi memudahkan aktiviti penyeludupan.

“Pangkalan haram dan lorong tikus itu sudah wujud sejak sekian lama dan kerja menyeludup masih lagi berlaku tetapi semakin berkurangan berikutan kawalan ketat.

“Kebanyakkan lorong-lorong ‘tikus’ yang diwujudkan ini berhampiran dengan kawasan semak-samun dan agak terpencil serta tersorok dari rumah penduduk,” katanya.

Ku Majidin berkata, penyeludup kemudian akan memunggah barangan seludup itu kerana laluan tersebut tidak boleh digunakan oleh kenderaan.

Menurutnya, selepas itu barangan itu akan dibawa dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam kuantiti kecil.

Beliau berkata, barangan seludup akan dikumpulkan di kawasan kediaman penduduk yang berhampiran dengan lokasi (pangkalan haram) sebelum dibawa menggunakan kenderaan.

“Bagaimanapun anggota PGA sentiasa membuat pemantauan di laluan itu termasuklah pangkalan haram sedia ada.

“Pemantauan berterusan itu dengan tujuan memastikan jenayah rentas sempadan berjaya dikekang sebaik mungkin,” katanya.