SPRM tiada hak masuk rumah Rosmah

in Berita by

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai hak menjalankan pemeriksaan dan menggeledah rumah Datin Seri Rosmah Mansor bagi siasatan kes rasuah pada dua tahun lalu.

Peguam mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pemeriksaan ke atas kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta di sini dibuat berdasarkan laporan ke atas bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Bhd, Saidi Abang Samsudin terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu.

Ketika menyoal Pegawai Penyiasat SPRM, Noornabilah Mohd Aziman, Akberdin dalam pemeriksaan balas itu berkata, notis akuan terima juga menunjukkan ia diterima dan ditandatangani oleh orang lain dan bukannya Rosmah sendiri.

Sehubungan itu, Akberdin mencadangkan kepada saksi bahawa laporan yang digunakan untuk memeriksa dan menggeledah kediaman Rosmah itu adalah ‘cacat’ kerana ia tidak menyatakan isteri bekas perdana menteri itu sebagai suspek.

Noornabilah bersetuju dengan Akberdin bahawa individu yang dinamakan dalam notis akuan terima itu bukan pemilik kepada rumah yang digeledah itu.

Akberdin turut mencadangkan bahawa SPRM tidak boleh menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan ke atas kediaman itu kerana individu menerima surat akuan terima bukan suspek, saksi itu mengakui individu yang menerima notis bukan suspek dalam siasatan.

Noornabilah bagaimanapun membantah cadangan Akberdin bahawa SPRM tidak mempunyai mandat untuk masuk ke dalam rumah terbabit.

Sementara itu, Akberdin turut mencadangkan kepada Noornabilah, Rosmah adalah mangsa kepada pendakwaan terpilih dan berniat jahat kerana hanya beliau didakwa di mahkamah sedangkan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan kes rasuah itu tidak dituduh.

Saksi itu kemudian bersetuju dengan Akberdin bahawa SPRM tidak nampak sasaran lain selain daripada Rosmah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.