Tak sabar meraikan kemenangan

in Kolumnis by

SEMALAM, 6 Oktober, kita dikejutkan dengan angka 691 rakyat yang disahkan menghidap koronavirus (Covid-19). Ini adalah angka tertinggi. Sejak 1 hingga 5 Oktober 2020, mereka yang sah dijangkiti Covid-19 adalah 260, 287, 317, 293 dan 432. Ratusan penghidap yang dikesan secara harian mula menjadi normal baharu.

Apakah tiga angka itu akan kekal, menurun atau meningkat hingga empat angka? Doakan agar kita tidak tewas dalam perang menentang Covid-19. Kita pernah nampak bayang-bayang kemenangan menumpaskan Covid-19 apabila jumlah mereka yang positif menurun kepada satu angka.

Pada 1 Julai dan 4 Ogos, hanya seorang positif Covid-19. Kita berasa selesa dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac dilonggarkan menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) meskipun terdapat kawasan yang kembali kepada PKPB.

Kita cepat lupa, cepat sangat mahu menjalani kehidupan normal lama, maknanya kembali kepada perangai lama. Ada yang mula tidak mengimbas suhu, mengimbas kod QR di MySejahtera atau mengisi buku apabila berkunjung ke restoran. Jika hendak disebutkan pula perangai orang politik yang ke sana ke mari, sudah berbakul leteran netizen di media sosial. Mereka berasakan Covid-19 tidak akan menyerang mereka sebab mereka orang politik. Maaf cakap, semua yang hidup akan menghidap penyakit dan semua kita akan mati tanpa kecuali.

Itulah kelemahan kita sebagai manusia. Kita cepat sangat rasa telah menang kerana menganggap perjuangan telah selesai dan kita boleh merebut ganjaran dengan bersantai. Banyak insiden daripada sejarah yang selalu mengingatkan kita pentingnya kita follow through atau susur hingga selesai dalam memikul tanggungjawab.

Perang Uhud adalah contoh klasik betapa kemenangan sementara bagi tentera Islam yang hanya berjumlah 700 orang pejuang dapat menumpaskan seramai 3,000 askar musuh. Oleh sebab berasa sudah menang, kumpulan pemanah pimpinan Abdullah Zubair turun dari bukit untuk merebut rampasan perang. Amanah Rasulullah SAW agar pasukan strategik di atas bukit itu jangan sesekali meninggalkan posisi telah mengakibatkan kekalahan tentera Islam.

Pertempuran

Politik Melayu di Malaysia pada hari ini pun serupa. Apabila berjaya memerintah atas sebab teknikal, mereka mula merebut kuasa. Baru enam bulan memerintah sudah hilang rasa muafakat dan ikatan. Orang lain tepuk tangan dan terus kipas agar percikan bara menjadi api. Pertempuran baharu dimenangi dirasakan sudah menang perang! Belum PRU pun tetapi perangai seperti dah menang secara demokrasi.

Dalam kehidupan seharian, banyak kes ‘perasan dah menang’ kita lakukan secara berulangkali tanpa serik. Dalam bisnes banyak terjadi. Kontrak belum sah dapat, sudah berhibur sakan. Minggu depan kononnya akan diberi bonus, kita sudah menempah pelbagai pakej makanan, perhiasan dan liburan. Akhirnya apabila syarikat umumkan bonus yang kurang daripada jangkaan, kita tersedak tak henti-henti.

Kita rasa kita sudah menang diet kerana telah berbulan puasa dan menjaga makan. Apabila melihat berat badan sudah menurun, kita pun buka selera. Benarlah, makanan belum berkumpul menjadi lemak pada peringkat awal. Tiba-tiba apabila berat badan naik tak turun-turun, kita juga yang menyesal.Apabila kita mengambil keputusan untuk menjadi baik dan rajin ke surau, ia amat terpuji. Kita mula dikenali jemaah, diminta membacakan iqamah, kemudian azan dan akhirnya diunjurkan agar mengimamkan solat. Kerana cepat perasan, maka apabila datang ujian Covid-19, kita tidak datang ke surau, kononnya kerana banyak peraturan lalu meninggalkan solat berjemaah yang merupakan jalan luas untuk beristiqamah dalam amalan beragama.

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi ALLAH orang-orang yang berjihad antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar?” Surah Ali-Imran: 142.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor