Terengganu arah ketatkan SOP kemasukan pelancong

in Khas by

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengarahkan pemain sektor pelancongan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, langkah itu perlu berdasarkan situasi semasa jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

“Saya menyeru semua yang terlibat dalam aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel dan resort, homestay, agensi pelancongan, agensi selaman, pemandu pelancong memberi penekanan terhadap (SOP) dalam mengendalikan pelancong.

“Langkah ini bagi menjamin tahap kesihatan dan keselamatan pelancongan yang berkunjung ke negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pelaksanaan SOP terhadap pengunjung yang datang ke lokasi tumpuan seperti pulau peranginan, hotel, premis perniagaan dan restoran.

“Setiap pengunjung wajib mendaftar dengan sistem menerusi aplikasi MySejahtera, Masuk.la dan CHase Covid19 yang akan memudahkan pengesanan maklumat pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

“Selain itu, pengunjung juga mesti memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, memakai cecair pembasmi kuman, menjaga jarak fizikal dan memastikan suhu badan diambil sebelum dibenarkan memasuki sesebuah premis,” katanya.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, sektor pelancongan Terengganu antara yang pertama pulih selepas gelombang pertama dan kedua Covid-19 dengan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini mencatatkan peningkatan begitu memberangsangkan berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Laporan purata kadar penginapan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) juga mencatatkan Terengganu di kedudukan ketiga tertinggi pada Jun 2020 manakala di kedudukan kedua pada Julai 2020 dibandingkan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Beberapa destinasi pelancongan turut menunjukkan peratus peningkatan pelancong pada bulan Ogos tahun ini iaitu Pulau Redang (114.8 peratus); Pulau Perhentian (197.13 peratus); Zoo Kemaman (319.4 peratus); Taman Tamadun Islam (37.4 peratus); Lata Kolam Air Deru Ecopark (49.67 peratus),” katanya.