Trio menang Hadiah Nobel Fizik

in Global by

STOCKHOLM – Roger Penrose dari United Kingdom (UK), Reinhard Genzel dari Jerman dan Andrea Ghez dari Amerika Syarikat (AS) dinamakan sebagai penerima Hadiah Nobel Fizik.

Menurut Jawatankuasa Nobel, pemilihan trio itu dibuat berdasarkan penemuan mereka tentang fenomena paling eksotik di alam semesta iaitu lubang hitam (black hole).

Penrose, 89, diberi anugerah itu kerana kajian beliau menunjukkan teori relativiti umum membawa kepada pembentukan lubang hitam manakala Genzel, 68, dan Ghez, 55, mendapat penghormatan sama atas penyelidikan mereka tentang objek sangat berat serta tidak kelihatan mengatur orbit bintang di pusat galaksi kita.

Difahamkan, Ghez yang bertugas sebagai Profesor Fizik dan Astronomi di University of California merupakan wanita keempat diberikan Hadiah Nobel Fizik sejak 1901.

Istilah lubang hitam merujuk kepada titik di ruang di mana jirim dimampatkan sehingga menghasilkan medan graviti yang tidak mampu ditembusi cahaya.

Pada 1965, Penrose yang berpusat di Universiti Oxford menggunakan pemodelan matematik untuk membuktikan titik hitam boleh terhasil manakala Genzel dan Ghez mengetuai kajian yang memfokuskan kawasan digelar Sagittarius A di pusat Galaksi Bima Sakti sejak awal 1990-an.

Trio terbabit akan berkongsi hadiah wang berjumlah kira-kira AS$1.1 juta (RM4.6 juta) dan sebahagian daripadanya akan diberikan kepada Penrose.

Penerima Hadiah Nobel biasanya akan menerima anugerah tersebut daripada pemerintah Sweden, Raja Carl XVI Gustaf dalam satu majlis rasmi di Stockholm pada 10 Disember setiap tahun.

Acara penyerahan hadiah pada tahun ini bagaimanapun terpaksa dibatalkan akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan akan digantikan dengan majlis disiarkan stesen TV yang akan memaparkan setiap penerima diberikan anugerah itu di negara masing-masing.

Pengumuman penerima Hadiah Nobel bermula sejak semalam apabila Hadiah Nobel Perubatan diberikan kepada Harvey Alter dan Charles Rice serta Briton Michael Houghton atas penemuan mereka tentang virus Hepatitis C yang membuka jalan untuk langkah merawatnya. – AFP