Cari adik beradik lelaki untuk jadi wali

in Edisi by

HULU TERENGGANU – Seorang wanita dari Kampung Padang Setar, Kuala Berang di sini, mencari adik beradik lelakinya untuk menjadi wali pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan.

Menurut Hamidah Mamat, 52, yang juga ibu tunggal, dia berharap orang ramai dapat membantu mengesan adik beradiknya itu kerana tiada maklumat mengenai mereka selepas terpisah dengan bapanya.

Hamidah berkata, Mamat Sulaiman, 80, yang sudah meninggal dunia meninggalkan ibunya, Zaharah Mamat, 70, ketika sedang mengandung lima bulan.

“Selepas ayah tinggalkan ibu yang sedang mengandungkan saya, dia tidak pulang dan saya sendiri tidak pernah berjumpa dengan dia.

“Saya tidak pasti sama ada ayah berkahwin lain atau tidak tapi sekiranya ada (berkahwin) saya harap dapat jumpa adik beradik lelaki untuk jadi wali saya nanti,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Katanya, mereka sekeluarga pernah mencari bapanya ketika melangsungkan perkahwinan kali pertama sebelum ini, namun gagal dan pernikahan diadakan dengan wali hakim.

“Pencarian dilakukan agak terhad kerana hanya berdasarkan satu maklumat yang ada iaitu bapanya berasal dari Kampung Bedal, Hulu Kelantan.

“Saya buntu untuk cari keluarga ayah, jadi saya harap orang ramai yang tahu tentang arwah bapa dapat hubungi saya di talian 017-979 7369,” katanya.