Covid-19: Gesa lantik Menteri Kesihatan di Sabah bantu KKM

in Khas by

KOTA KINABALU – Bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon mengesa kerajaan negeri baharu supaya segera membentuk barisan Kabinet termasuk melantik Menteri Kesihatan di negeri ini.

Ia berikutan penularan dan peningkatan pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri ini termasuk beberapa daerah kini dikategorikan sebagai zon merah akibat peningkatan kes di daerah terbabit.

Frankie yang juga Pengerusi DAP Sabah berkata, dalam situasi kini kerajaan negeri harus melantik seorang Menteri Kesihatan bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menanggani wabak tersebut.

“Sabah mempunyai 26 daerah di mana keluasan negerinya hampir 40 peratus daripada Semenanjung, selain mempunyai populasi yang ketiga terbanyak di Malaysia.

“Jadi kita perlukan seorang menteri untuk bertindak dan menjaga hal kesihatan termasuk memastikan bantuan perubatan mencukupi dan tiba tepat pada masanya termasuk dalam kepakaran,” katanya Ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu ketiadaan Menteri Kesihatan sejak penubuhan kerajaan baharu dan berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Katanya lagi, perkara itu penting bagi menenangkan masyarakat umum sekiranya tindakan segera diambil oleh kerajaan negeri.

“Perhatian dan tindakan segera amat diperlukan bagi menenangkan rakyat di negeri ini.

“Menteri Kesihatan akan lebih memahami keadaan dan seterusnya dapat membuat keputusan yang betul,” katanya.

Sejak kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dibentuk dan selepas istiadat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dilaksanakan pada 30 September lalu, barisan Kabinet negeri Sabah masih belum lengkap dengan tiada pelantikan menteri dan pembantu di beberapa kementerian termasuk Menteri Kesihatan.

Manakala di media sosial, netizen mula mempersoalkan gerak kerja kerajaan baharu yang dilihat belum bermula terutama membabitkan perkembangan kes di setiap daerah.