McPhee tekad ulangi kemenangan manis di Le Mans

in Berita by

PELUMBA Petronas Sprinta Racing Moto3, John McPhee begitu bersemangat untuk mendapat penyudah podium pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans hujung minggu ini.

Pelumba berusia 26 tahun itu berkata beliau mempunyai kenangan manis di litar sepanjang 4.2 kilometer (km) itu yang merupakan litar beliau mendapatkan kemenangan sulung Moto3 untuk pasukan yang berpangkalan dari Malaysia itu, musim lepas.

“Saya menikmati pertarungan tahun lepas dan saya tidak sabar untuk kembali ke sana hujung minggu ini. Bagaimanapun kita tengok dahulu macam mana keadaan litar nanti.

“Kami perlu melupakan keputusan yang mengecewakan di GP Catalan dan melihat ke hadapan. Masih ada enam lagi perlumbaan menunggu dan kurang 25 mata daripada pendahulu, kami perlu teruskan perjuangan,” kata McPhee merujuk kepada kegagalannya menamatkan GP Catalunya pada 27 September selepas terlibat dalam kemalangan dengan pelumba Sepanyol Albert Arenas pada lap keenam.

Teman sepasukannya, Khairul Idham Pawi (Super KIP) sebaliknya akan berusaha untuk meningkatkan prestasinya biarpun gagal mendapatkan keputusan positif dalam sembilan perlumbaan lepas.

“Adalah penting untuk saya memperbaiki masa lap saya lagi, melakukan beberapa perubahan kepada jentera untuk mendapat peningkatan yang lebih dan mampu berentap dengan pelumba berhampiran saya,” katanya.

Kali ini sukar dijangka jadi kami perlu pantas menyesuaikan diri kepada sebarang perubahan keadaan cuaca. Keputusan lepas tidak seperti yang dijangkakan jadi saya berharap ada peningkatan dalam pelumbaan ini dan menyudahinya dengan keputusan lebih baik,” kata pelumba berusia 22 tahun dari Perak.

GP Perancis akan bermula dengan sesi latihan bebas Jumaat ini diikuti dengan ujian kelayakan pada Sabtu dan perlumbaan sebenar pada Ahad.

McPhee kini berada di tangga ketiga Kejohanan Moto3 Dunia dengan 98 mata, sementara Super KIP masih gagal mengumpul sebarang mata selepas sembilan perlumbaan.