Penggiat sukan disaran patuhi SOP

in Berita by

SEMUA operator kemudahan, penganjur acara serta penggiat sukan diingatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sukan dan rekreasi yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan peningkatan kes koronavirus (Covid-19).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pematuhan itu supaya semua pihak dapat bersukan dalam suasana yang selamat dan bebas daripada pandemik itu.

Beliau turut menyarankan penggiat sukan dan rekreasi di daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), antaranya Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah untuk membatalkan semua aktiviti dan acara sepanjang tempoh PKPB.

“Selaras dengan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai PKPB di tiga daerah yang berkuat kuasa hari ini, semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya juga adalah tidak dibenarkan di tiga daerah itu.

“Dalam keadaan getir ini terutamanya di Sabah, kita perlu sama-sama memperingati dan menjaga antara satu sama lain. Kita semua doakan supaya keadaan di sana segera pulih,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook beliau semalam.

Terdahulu, Ismail Sabri memberitahu, keputusan itu diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Isnin lalu berikutan situasi semasa penularan Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB itu adalah tidak dibenarkan. Hanya perkhidmatan perlu (essential service) termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan sahaja dibenarkan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terbabit di kawasan terbabit,” ujarnya.