Polis Tawau aktifkan lapan pasukan pemantau pematuhan SOP

in Khas by

TAWAU – Polis Tawau mengaktifkan lapan pasukan pemantau bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) sejak 29 September lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, sepanjang PKPDB itu, enam individu telah dikompaun manakala empat lagi akan didakwa di mahkamah kerana melanggar SOP termasuk rentas daerah.

“Saya nasihatkan supaya masyarakat mematuhi SOP dikeluarkan pihak berkuasa untuk kebaikan, jaga jarak fizikal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Batu 2, Jalan Apas di sini hari ini.

Sementara itu, Peter berkata, satu pasukan khas polis juga ditubuhkan membabitkan kenderaan peronda untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin di daerah Tawau.

Katanya, pasukan khas dibantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) melakukan rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan tikus digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI). – Bernama