Protes mega bantah Undang-undang Cipta Kerja di Indonesia

in Global by

JAKARTA – Lebih 5,000 mahasiswa dari 300 universiti di seluruh Indonesia merancang untuk berarak ke Istana Merdeka esok sebagai membantah Undang-undang Cipta Kerja yang didakwa sebagai ‘ancaman serius’ kepada hak pekerja.

Ia akan turut disertai kumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan protes serentak di wilayah masing-masing bagi menolak Omnibus Law tersebut yang diluluskan tiga hari lebih awal pada Isnin lalu berbanding tempoh ditetapkan pentadbiran Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Gabungan Kesatuan Pekerja Indonesia juga mengesahkan ia akan meneruskan mogok selama tiga hari selepas hampir sejuta pekerja meninggalkan kilang untuk menyertai tunjuk perasaan tersebut.

Hari ini, pihak berkuasa memberkas kira-kira 23 peserta protes di dua kawasan perindustrian di Pulau Jawa selepas demonstrasi mega itu tercetus hingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan semburan air untuk menyuraikan mereka.

Jurucakap polis di Banten, Edy Sumardi berkata, seramai 14 penunjuk perasaan ditahan di wilayah barat Jakarta ketika tunjuk perasaan kelmarin.

Protes secara aman yang diadakan di lebih enam bandar seluruh negara turut menyaksikan bantahan besar-besaran di media sosial.

Sebuah petisyen dalam talian turut dilancarkan bagi menggesa undang-undang itu dimansuhkan telah memperoleh lebih 1.3 juta tandatangan.

Undang-undang baharu tersebut yang diluluskan Parlimen didakwa sebagai kunci untuk meningkatkan daya saing ekonomi terbesar di Asia Tenggara yang terjejas teruk akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan bertujuan menarik pelabur asing.

Pengkritik mendakwa undang-undang baharu tersebut yang menyemak semula lebih 70 undang-undang dan peraturan sedia ada tidak melindungi hak pekerja dan melonggarkan peraturan alam sekitar. – Agensi