PPZ-MAIWP sedia dana RM100,000 bantu penuntut IPT terkandas

in Edisi by

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyediakan dana permulaan berjumlah RM100,000 kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkesan berikutan penangguhan pendaftaran secara fizikal kemasukan ke kampus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, PPZ-MAIWP mewujudkan inisiatif program itu di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penuntut IPT di seluruh negara melalui ‘Musaadah Khaira Siswa PPZ’.

Menurutnya, sumbangan itu diharap memudahkan pelbagai pihak terutama dalam meringankan beban penuntut IPT dan ahli keluarga.

“Sumbangan kewangan yang akan diberikan itu bagi menampung keperluan semasa seperti pengangkutan, penginapan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ahmad Shukri berkata, penangguhan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada penuntut yang telah hadir mendaftar dan merancang perjalanan terlebih awal.

Katanya, pihaknya sentiasa cakna tentang segala rintihan dan keluhan penuntut IPT mengenai kesulitan yang timbul susulan penangguhan proses pendaftaran tersebut.

“Kami terpanggil untuk membantu bersama-sama agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain untuk mengatasi isu ini,” katanya.

Pelajar IPT yang ingin memohon, boleh membuat permohonan dalam talian melalui musaadahsiswa.zakat.com.my bermula semalam hingga 9 Oktober ini.

Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut boleh dimajukan terus ke e-mel rasmi musaadahsiswa@zakat.com.my.