Sekolah kelolaan JAIS di Klang ditangguhkan

in Khas by

SHAH ALAM – Semua operasi dan aktiviti persekolahan di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di daerah Klang ditangguhkan berkuat kuasa hari ini sehingga 23 Oktober.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penangguhan itu susulan kawasan Klang yang bertukar menjadi zon merah ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, sepanjang penangguhan, sesi pembelajaran akan berjalan secara atas talian.

“Semua guru dan kakitangan sekolah JAIS di daerah Klang tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan diarahkan bekerja dari rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan beberapa daerah di Sabah iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran termasuk Klang, Selangor dikenakan PKPB berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam pada Jumaat ini.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan memberikan pengumuman lanjut berkaitan pelaksanaan PKPB di Klang.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, inisiatif JAIS bertujuan memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan dan menggelakkan kesan negatif serta risiko jangkitan yang tidak dapat dikawal dan mengganggu kesejahteraan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB: Parameter kawasan di Klang diketahui esok

Selangor perinci pelaksanaan PKPB di Klang