Tular senarai Kabinet Sabah pagi ini

in Berita by

KOTA KINABALU – Satu senarai barisan Kabinet terdiri daripada menteri dan pembantu menteri akan mengangkat sumpah hari ini tular sejak awal pagi tadi.

Senarai itu memaklumkan terdapat lima jemaah menteri bersama 11 jawatan pembantu menteri akan dilantik manakala enam lagi bagi penyerahan watikah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.

Antara yang disenaraikan ialah Menteri Tugas-Tugas Khas yang disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar disandang Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dan dibantu Pembantu Menteri, Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat pula disandang oleh Datuk Yakubah Khan (Karambunai) dibantu oleh Pembantu Menteri, Datuk Jolita Mojungki (Matunggong) dan Flovia Ng (Tulid) dan Menteri Belia dan Sukan disandang oleh Adun Sook, Datuk Ellron Angin dibantu Pembantu Menteri, Andi Muhammad Surayadi Bandi (Tanjung Batu).

Turut disenaraikan ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri disandang oleh Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Datuk Wetrom Bahanda (Bandau); Pembantu Menteri Kewangan disandang Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas) dan Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan bagi Pembantu Kerja Raya disandang oleh Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Robert Tawik (Bingkor).

Tular juga bagi jawatan Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan disandang oleh Datuk James Ratib (Sugut) dan Hendrus Anding (Tandek); Pembantu Menteri Pembangunan Industri disandang oleh Tamin Zainal (Pantai Manis) manakala bagi Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan disandang oleh Datuk Isnin Aliasnih (Klias) dan Mohamad Hamsan Awang Supian (Sungai Sibuga).

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar pula dikatakan disandang oleh Samad Jambri (Labuk) dan Harun Durabi (Bengkoka) dan Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi disandang oleh Datuk Ruddy Awah (Pitas).

Enam lagi ADUN dilantik ialah Suhaimi Nasir (Gum-Gum), Datuk Raime Unggi (Kemabong), Jaffari Walliam, Datuk Seri Yong Teck Lee mewakili Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Amisah Yassin wakil Besatu dan Dr Aliakbar Gulasan mewakili Pas.

Sementara itu, Isnin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan senarai itu benar termasuk jawatan yang disandang beliau.

“Ya, kiranya betul,” katanya ringkas melalui WhatsApp.

Ditanya tarikh majlis angkat sumpah, beliau berkata ia akan diadakan pada bila-bila masa saja.