1,358 individu ingkar PKP, PKPP ditahan di Pahang

in Khas by

KUANTAN – Seramai 1,358 individu di negeri ini ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 18 Mac lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, daripada jumlah itu, 584 individu telah dituduh di mahkamah dan enam daripadanya telah dikenakan kompaun.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat hasil daripada operasi pemantauan dan pemeriksaan di 1,687 premis, lokasi tumpuan awam dan kenderaan.

“Pemeriksaan dan pemantauan dilakukan di 1,028 perkataakilang dan bank; terminal bas dan teksi (20); pasar awam dan tani (31); tempat ibadah (117); tempat riadah (31) dan tapak pembinaan (2). Sejumlah 27 premis dikenakan kompaun.

“Sementara itu sebanyak 458 kenderaan turut diperiksa,” katanya.

Beliau berkata, sejak 17 Mac lalu, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan oleh 99 pasukan khas ‘task force’ terutama di lokasi awam dan tumpuan ramai bagi pemantauan pemakaian pelitup muka dan mematuhi penjarakkan fizikal.

“Ia bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dan PKPP di seluruh negeri Pahang.

“Selain mengambil tindakan undang-undang, polis turut menasihati dan memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak melanggar peraturan,” katanya.