Covid-19: Selangor catat 24 kes baharu

in Khas by

SHAH ALAM – Selangor mencatatkan 24 kes baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 2,531 kes.

Selangor Task Force Covid-19 menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, kesemua kes diklasifikasikan sebagai jangkitan tempatan.

“Setakat ini Selangor merekodkan 307 kes aktif iaitu individu yang boleh menjangkiti orang lain dan 140 kes melibatkan individu yang mendapat jangkitan di negeri lain.

“Tiada perubahan warna zon bagi kesemua daerah dan mukim di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, bagi memastikan kelangsungan ekonomi, syarikat-syarikat dan industri terutamanya di Klang wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekiranya didapati melanggar SOP, operasi boleh diberhentikan serta-merta dan tindakan undang-undang boleh diambil.

“”Orang ramai juga perlu sentiasa menjaga penjarakkan fizikal, pakai pelitup muka dan basuh tangan secara kerap,” katanya.

Terdahulu, seramai 800,000 penduduk di mukim Klang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan bermula hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia turut melibatkan 36 kawasan di mukim Klang antaranya Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis dan Taman Sri Andalas.